JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Wanita Semak Keputusan Berhubung Status Agama Islam

06/01/2025 06:30 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan seorang wanita berusia 38 tahun untuk menyemak semula keputusan terdahulu yang mengesahkan status agamanya sebagai seorang Islam.

Wanita itu memohon Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang dibuat pada 3 Mei tahun lepas, yang mengetepikan permohonannya. Wanita itu memohon panel hakim baharu untuk mendengar semula rayuannya.

Hari ini panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak permohonan semakan wanita itu.

Hakim Zabariah yang mengetuai panel itu berkata kes tersebut tidak berada di bawah situasi luar biasa yang memerlukan semakan.

“Penentuan status pemohon (wanita) (agama) adalah berdasarkan fakta, bukan semata-mata berdasarkan undang-undang, dan mahkamah ini tidak boleh mempertimbangkan sama ada panel terdahulu telah atau tidak, membuat keputusan yang betul mengenai fakta itu. Ia soal pendapat dan penilaian,” katanya.

Hakim Zabariah juga berkata prinsip muktamad dalam litigasi mesti ditegakkan.

Wanita itu dilahirkan di Selangor oleh ibunya yang beragama Buddha, manakala bapanya seorang Hindu, dan dia mendakwa telah dibawa ibunya memeluk Islam pada 1991 semasa berumur empat tahun, tanpa kebenaran bapanya.

Walaupun begitu dia terus mengamalkan agama Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan sebagaimana yang dibenarkan oleh ibu dan bapa tirinya.

Ibunya berkahwin dengan seorang lelaki Islam selepas bercerai.

Pada 2013 wanita itu memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia bukan lagi beragama Islam, tetapi permintaannya ditolak pada 20 Julai 2017. Mahkamah Rayuan Syariah menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017 .

Dia meneruskan tuntutan sivil di Mahkamah Tinggi, memohon pengisytiharan bahawa dia bukan seorang yang menganut agama Islam dan menamakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta kerajaan negeri Selangor sebagai responden dalam saman itu.

Pada 2012, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan yang memihak kepada wanita itu. Bagaimanapun keputusan itu telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Januari 2023, mengembalikan statusnya sebagai seorang Islam susulan rayuan MAIS dan kerajaan negeri Selangor.

Pada 3 Mei tahun lepas Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 2-1, mengekalkan keputusan mahkamah rayuan.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan, dengan menekankan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dibuat di luar bidang kuasa mahkamah dan melanggar peraturan keadilan semula jadi.  Dia turut mendakwa keputusan majoriti telah menyebabkan kegagalan pelaksanaan keadilan yang serius.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, A.Surendra Ananth dan Wong Ming Yen mewakili wanita itu dalam prosiding hari ini.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda pula mewakili MAIS, manakala penasihat undang-undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid mewakili kerajaan negeri Selangor.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan