AM

MCMC, Kerajaan Melaka Jalin Kerjasama Inisiatif Kampung Digital

06/01/2025 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menjalin kerjasama strategik dengan kerajaan Melaka menerusi perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM).

MCMC dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu adalah langkah strategik untuk memastikan setiap premis di negeri itu dilengkapi dengan alamat yang lengkap dan sistematik. 

"Perjanjian ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi dan infrastruktur digital yang lebih mampan di Melaka serta memberi manfaat besar kepada komuniti setempat," menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, inisiatif Kampung Digital tersebut adalah yang pertama di Malaysia dengan penggunaan kod respons pantas (QR) bertujuan memodenkan sistem alamat rumah di 623 kampung tradisional di Melaka serta meningkatkan kualiti akses data perkhidmatan rakyat.

Projek berkenaan juga telah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan cap dagangan logo, menjadikannya model kampung digital di seluruh negara.

Menerusi inisiatif itu MCMC akan bekerjasama dalam aspek sokongan teknikal di samping perkongsian maklumat dan data untuk pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS). 

"Dengan adanya NAS kelak, ia akan menjadi sistem tunggal yang berautoriti, seragam dan berpusat untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara melalui kerjasama antara pelbagai pihak.

"Kerjasama antara MCMC dengan kerajaan Melaka melalui inisiatif ini adalah amat penting dan diharapkan dapat terus diperkukuhkan," menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC, projek berkenaan bukan sahaja memberi impak positif kepada Melaka malah dijangka menjadi model kepada negeri lain dalam membangunkan ekosistem digital yang lebih inklusif dan berdaya saing.

Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad disaksikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, Pengarah Urusan MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan