JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Lelaki Ditahan Disyaki Seludup Karkas Khinzir Bernilai Lebih RM100,000

06/01/2025 09:21 PM

KOTA BHARU, 6 Jan (Bernama) -- Tiga lelaki ditahan kerana disyaki menyeludup hampir 2,000 kilogram karkas khinzir dianggar bernilai RM165,696 di Kampung Tasek Kwong, Lubok Stol, Rantau Panjang, Sabtu lepas.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kesemua yang berusia 30 hingga 44 tahun itu ditahan pada 2.30 petang ketika menaiki sebuah lori.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati karkas khinzir tanpa dokumen sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu disorokkan di dalam lori terbabit.

"Mereka dipercayai bertindak sebagai penghantar untuk menyeludup karkas khinzir itu ke pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647).

Dalam kes lain, beliau berkata PGA menahan seorang lelaki warga Thailand dipercayai cuba menyeludup masuk barangan runcit yang dianggar bernilai RM28,600 di Sekat Pintas Serongga, Rantau Panjang, kira-kira 8.30 pagi Sabtu lepas.

Beliau berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan selepas anggota PGA menahan kenderaan dipandunya dan pemeriksaan menemukan pelbagai barangan runcit dipercayai dari Thailand tanpa dokumen sah.

"Barangan dirampas dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan