EKONOMI

JS-SEZ Inisiatif Unik Promosi Malaysia Dan Singapura - PM Anwar

07/01/2025 03:22 PM

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama)  -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan inisiatif unik apabila dua negara bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membantu mempromosikan kedua-dua negara dan menarik pelaburan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia dan Singapura ditadbir oleh pentadbiran yang stabil dari segi politik dengan dasar ekonomi yang jelas bertujuan menarik pelaburan.

Beliau berkata kedua-dua kerajaan memilih dengan teliti dalam memastikan pelaburan sejajar dengan permintaan dan keutamaan masa depan.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong sempena lawatan rasmi Wong selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam.

Ia sendiri merupakan insentif yang besar untuk perniagaan selain insentif kewangan dan infrastruktur yang disediakan melalui kerjasama tersebut, kata Anwar.

Sementara itu, Wong berkata inisiatif itu memberikan mesej kepada pelabur untuk melihat kepada saling melengkapi antara Johor dan Singapura serta pelbagai kelebihan dalam seluruh ekosistem JS-SEZ.

Beliau berkata terdapat banyak kekuatan yang boleh dimanfaatkan daripada kedua-dua pihak yang akan meningkatkan cadangan nilainya dan menjadikan JS-SEZ lebih kompetitif serta menarik perniagaan untuk beroperasi.

“Bagi pihak Singapura, kami telah mengadakan perbincangan dengan banyak perniagaan kami dan mereka amat berminat untuk meluaskan operasi ke Johor. Kami telah mempunyai insentif untuk perniagaan yang ingin mengembangkan operasi ke luar negara.

“Kami mempunyai insentif sedia ada untuk perniagaan dari Singapura yang ingin mengembangkan operasi ke luar negara. Perniagaan Singapura boleh memanfaatkan insentif tersebut, program kesediaan pasaran dan geran untuk mengembangkan dan beroperasi di Johor yang diselaraskan dengan operasi mereka di Singapura,” katanya.

Wong berkata potensi besar JS-SEZ ialah kedua-dua negara bekerjasama untuk menarik pelaburan baharu di peringkat global serta memasarkan dan mempromosikan zon ekonomi ini sebagai destinasi gabungan di Johor dan Singapura kepada pelabur.

“Diharapkan, ini akan membolehkan kami (Malaysia dan Singapura) menarik lebih banyak pelaburan global ke negara masing-masing — meningkatkan nilai, memperluas peluang dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Terdahulu, Anwar dan Wong menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura mengenai JS-SEZ selain enam memorandum persefahaman (MOU) dan satu surat niat (LOI).  

MoU itu melibatkan bidang pemerangkapan dan penyimpanan karbon; kerjasama dalam Pendekatan Koperasi di bawah Perkara 6 (Perenggan 2) Perjanjian Paris dan kerjasama dalam pembangunan bandar.

Ia juga termasuk MoU mengenai kerjasama dalam kebajikan sosial, wanita dan pemerkasaan orang kurang upaya, pembangunan keluarga, kanak-kanak dan komuniti; MoU mengenai mencegah dan memerangi jenayah rentas sempadan serta MoU mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

Sementara itu, LOI antara Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) adalah mengenai Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia–Singapura (MSEVP).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan