EKONOMI

MOF, Kerajaan Johor Umum Pakej Insentif JS-SEZ, Pacu Pelaburan Nilai Tinggi Ke Johor

08/01/2025 12:51 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) dan kerajaan Johor mengumumkan pakej insentif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang disediakan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi ke Johor.

Menerusi kenyataan bersama pada Rabu, MOF dan kerajaan Johor menjelaskan pakej insentif yang mengambil kira keperluan dinamik pelabur global dan domestik itu juga merupakan ikhtiar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara.

“Mulai 1 Jan, 2025 pelabur boleh memohon insentif cukai termasuk kadar cukai korporat istimewa iaitu syarikat yang membuat pelaburan baharu dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang layak seperti AI (kecerdasan buatan) dan pengkomputeran kuantum, peralatan perubatan, aeroangkasa dan perkhidmatan hab global, berpeluang menikmati kadar cukai istimewa lima peratus bagi tempoh sehingga 15 tahun.

“Selain itu, di bawah Fokus Pembangunan Flagship, insentif tambahan diperuntuk bagi perniagaan yang beroperasi di kawasan ‘flagship’ yang telah ditentukan di JSSEZ,” jelas kedua-dua pihak itu.

MOF dan kerajaan Johor juga memaklumkan, pelabur juga boleh memohon kadar cukai istimewa untuk pekerja berpengetahuan iaitu kadar cukai istimewa 15 peratus bagi tempoh 10 tahun diperuntukkan untuk pekerja berpengetahuan yang layak di JS-SEZ.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pakej insentif JS-SEZ memberikan rangsangan untuk meningkatkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan global.

“Kerajaan MADANI dan kerajaan negeri Johor telah mengambil langkah proaktif untuk memberikan sokongan penuh kepada JS-SEZ dalam usaha menarik pelaburan.

“Berasaskan pelbagai kelebihan yang dimiliki oleh negeri ini, JS-SEZ akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab perdagangan dan maritim utama di rantau ini,” katanya dalam kenyataan bersama itu.

Beliau berkata selain daripada pakej insentif cukai itu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memperkenalkan duti hiburan pada kadar yang lebih rendah bermula 1 Jan, 2025.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pakej insentif cukai JS-SEZ mencerminkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan hubungan manfaat bersama yang akan melonjakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Beliau berkata kerajaan mengalu-alukan perniagaan global untuk meneroka peluang besar yang ditawarkan oleh Malaysia.

“Dengan kerjasama antara Malaysia dan Singapura, pakej insentif JS-SEZ ini akan mempercepat kemasukan pelaburan berkualiti dalam sektor utama dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, dengan memanfaatkan kekuatan dan sinergi antara Johor dan Singapura,” katanya.

Menurut kenyataan bersama itu, pakej insentif cukai JS-SEZ melengkapi Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, yang bertujuan merangsang pelaburan dalam industri bernilai tinggi dan dengan pertumbuhan mampan seterusnya merangsang pembangunan ekonomi yang saksama di seluruh Malaysia.

“Bagi memudah cara proses permohonan pelaburan yang lebih pantas di JS-SEZ, kerajaan telah menubuhkan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) untuk menyelaras proses pelaburan secara menyeluruh, meliputi permohonan dan kelulusan, fasilitasi pelaburan, dan pelaburan semula.

“Butiran lanjut mengenai insentif cukai dan zon ‘flagship’ akan diumumkan dalam masa terdekat,” tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan