Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap kerajaan dengan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong hanya bertujuan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Penganalisis Keselamatan dan Politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan asas kepada isu itu ialah proses pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Lembaga Pengampunan.
Beliau berkata bagi isu tahanan rumah, ia merupakan isu yang berbeza dari aspek berkenaan.
“Justeru, apa pun yang berlaku di dalam negara kita sudah tentu akan mempunyai satu bentuk ketelusan dan jaminan yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan dalam memastikan elemen-elemen berkaitan status dan isu terbabit difahami dengan jelas oleh masyarakat dalam kerangka perundangan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya kepada Bernama.
Noor Nirwandy berkata spekulasi sebegini mungkin muncul apabila perkara-perkara yang tidak berkaitan disensasikan dan beliau menggesa masyarakat untuk memberi tumpuan kepada kepentingan sistem perundangan negara berjalan mengikut aturan proses perundangan yang diperuntukkan.
Sementara itu, Prof Madya Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar daripada Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata penjelasan daripada pihak istana dan kerajaan membabitkan isu itu tertakluk pada peruntukan undang-undang dilihat perlu pada ketika ini memandangkan ia masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
"Sama ada dakwaan ini berasas atau tidak, kita perlukan penjelasan daripada pihak istana dan juga kerajaan,” katanya dan menambah ketelusan dalam memberi penjelasan kepada rakyat amat diperlukan bagi merungkai segala kekusutan.
Semalam, media melaporkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi "Minda Presiden Pas" di Facebook mendakwa tindakan pihak yang mengabaikan titah Yang di-Pertuan Agong terhadap Najib dianggap derhaka kepada Institusi Raja-Raja Melayu.
Pada Isnin, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen yang akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah, kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya.
Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dalam keputusan majoriti membenarkan rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel itu membantah, dan memutuskan bahawa tiada merit dalam rayuan bekas perdana menteri itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial