KOTA BHARU, 9 Jan (Bernama) -- Seekor buaya tembaga sepanjang 1.4 meter yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas ditangkap sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan hari ini.
Pengarah berkenaan Mohamad Hafid Rohani berkata buaya itu ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang PERHILITAN pada 2 Jan lepas.
Beliau berkata pada 1 Jan lepas, pihaknya ada menerima aduan mengenai kehadiran seekor buaya di parit air berhampiran kampung itu dan mengerahkan PERHILITAN daerah Kota Bharu segera ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan pemantauan.
“Selepas menjalankan siasatan, kami mendapati aduan itu berasas berdasarkan maklumat dan gambar yang diberikan oleh pengadu yang melihat haiwan berkenaan.
"Jarak antara lokasi aduan dan Sungai Kelantan adalah kira-kira satu kilometer dan buaya itu dipercayai tersesat dari Sungai Kelantan semasa kejadian banjir pada penghujung Nov tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Hafid berkata selepas haiwan itu ditangkap, PERHILITAN telah membuat pemeriksaan dan pengukuran morfologi ke atas buaya itu dan operasi pemindahan buaya akan dilaksanakan segera ke habitat asal yang sesuai dan jauh daripada kawasan penempatan.
Dengan penangkapan ini, PERHILITAN berharap ia dapat mengurangkan ketakutan dan kegusaran kepada penduduk setempat.
“Orang ramai juga disarankan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya keselamatan kepada diri sendiri," katanya.
Sehubungan itu, sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada PERHILITAN melalui talian utama PERHILITAN iaitu 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial