EKONOMI

Malaysia Akan Kaji Semula Tenaga Nuklear Sebagai Sumber Kuasa Berpotensi - TPM Fadillah

14/01/2025 04:08 PM

PETALING JAYA, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia akan mengkaji semula program tenaga nuklearnya untuk dijadikan sebagai sumber tenaga yang berpotensi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata memandangkan permintaan tenaga Malaysia yang semakin meningkat - didorong oleh keperluan industri, pengembangan pusat data, dan penggunaan kenderaan elektrik - negara sedang mengkaji semua penyelesaian yang berpotensi untuk keperluan tenaganya.

"Keputusan kita mengenai tenaga nuklear akan berdasarkan kepada dapatan bermaklumat dan panduan piawaian antarabangsa, memastikan ia sejajar dengan keperluan dan keadaan unik di Malaysia.

"Tenaga nuklear, yang diiktiraf di peringkat global sebagai salah satu sumber tenaga terbersih, adalah antara pilihan yang kita sedang pertimbangkan. Pada COP28, lebih 20 negara komited untuk meningkatkan tiga kali ganda penjanaan tenaga nuklear mereka, yang menunjukkan kepentingannya," katanya pada Bengkel Pembangunan Lestari ASEAN (AWSD) 2025 di Universiti Sunway, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Malaysia sedang mengkaji dengan teliti daya maju tenaga nuklear untuk menambahkannya ke dalam campuran tenaga negara, katanya.

Fadillah berkata bagi tujuan ini, kementeriannya telah menjalankan kajian melalui MyPower Corporation, disokong oleh dapatan daripada Agensi Nuklear Malaysia.

"Kajian ini memberi tumpuan kepada teknologi nuklear termaju, langkah-langkah keselamatan, rangka kerja kawal selia, dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutamanya orang awam.

"Malaysia kekal komited sepenuhnya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Tumpuan utama dalam usaha ini ialah penyahkarbonan sektor tenaga kita, kerana ia merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada pelepasan karbon," katanya.

Beliau berkata untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih, Malaysia perlu berusaha mengimbangi pemeliharaan alam sekitar dengan jaminan tenaga.

“Ini melibatkan langkah memastikan tenaga bukan sahaja mampu milik tetapi juga diagihkan secara saksama kepada semua pengguna.

"Dalam konteks ini, Malaysia telah membangunkan pelan pembangunan kuasa komprehensif. Pelan ini menggabungkan campuran tenaga yang pelbagai, termasuk hidro, biojisim dan tenaga solar.

"Kita juga memberi tumpuan kepada kecekapan tenaga dan kemajuan teknologi, seperti sistem penyimpanan bateri dan teknologi berasaskan hidro," kata Fadillah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan