AM

Gencatan Senjata: Malaysia Bincang Dengan Jepun, Segerakan Pembangunan Semula Gaza

16/01/2025 08:45 PM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

LONDON, 16 Jan (Bernama) -- Malaysia akan bekerjasama dengan Jepun bagi menyegerakan pembangunan semula Gaza berikutan gencatan senjata yang telah dicapai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menghubungi rakan sejawatannya Shigeru Ishiba hari ini untuk membincangkan perkembangan mutakhir itu.

“Ada cadangan daripada Ishiba iaitu untuk pembangunan semula Gaza yang harus disegerakan kerana pendamaian yang telah dicapai ini,” katanya kepada media Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada acara Invest Malaysia di sini hari ini.

Anwar berkata Ishiba juga telah meminta Malaysia menjadi pengerusi bersama dengan Jepun bagi inisiatif negara itu menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini, khususnya berkaitan pembangunan semula Gaza.

"Kita akan mencari dana dan kaedah untuk membantu segera. Jadi saya akan hubungi PM Ishiba hari ini juga untuk menyatakan bahawa jawatankuasa itu harus segera bertemu untuk mencari jalan dan kaedah membantu Gaza," katanya.

Inisiatif Jepun untuk membantu pemulihan Gaza itu dibincangkan semasa lawatan Ishiba ke Malaysia awal bulan ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan