JENAYAH & MAHKAMAH

11 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Di Muallim

17/01/2025 11:51 PM

IPOH, 17 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Perak menahan 11 pendatang tanpa izin dalam serbuan di tujuh premis perniagaan berasingan di sekitar daerah Muallim, semalam.

Pengarahnya Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata serbuan itu disertai lapan pegawai imigresen, 10 anggota dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Cawangan Tapah serta enam pegawai dan anggota Majlis Daerah Tanjong Malim.

Beliau berkata 24 rakyat tempatan dan warga asing diperiksa dalam serbuan bermula 7.30 pagi hingga kira-kira 3 petang itu, yang dibuat berdasarkan aduan dan hasil risikan serta pemantauan.

“Hasil pemeriksaan, 11 warga asing berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun telah ditahan kerana didapati melakukan dengan munasabah kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

“Mereka terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia, tujuh lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga India,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Meor Hezbullah berkata mereka ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Ipoh untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata pihaknya juga meminta pelanggan serta saksi di tempat kejadian untuk hadir ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63, selain turut menyiasat pemilik premis dan majikan yang bertanggungjawab mengambil warga asing bekerja di bawah Seksyen 55(B) atau Seksyen 55(E) akta sama.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan