DUNIA

Pasaran Getah Dijangka Meningkat Sedikit Minggu Depan

18/01/2025 10:37 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Pasaran getah dijangka meningkat sedikit minggu depan, dengan permintaan stabil menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, kata pakar industri Dennis Low. 

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Thailand telah memberi amaran bahawa monsun timur laut yang melanda Teluk Thailand dan Selatan Laut Andaman akan bertambah kuat pada hujung minggu ini, membawa hujan lebat ke kawasan selatan Thailand.

“Ini boleh menyebabkan banjir kilat dan hujan lebat yang berterusan. Hujan yang berterusan ini akan menyebabkan bekalan tidak mencukupi serta harga barangan naik dan permintaan meningkat,” katanya kepada Bernama. 

Harga minyak yang tidak menentu dan dolar AS juga dijangka memberi impak kepada harga dan permintaan.

Ketidakstabilan yang ketara ini mencerminkan ketidaktentuan dan boleh mewujudkan langkah berhati-hati dan kebimbangan pada masa yang sama.

“Oleh itu, kita mungkin menyaksikan pendekatan yang lebih berhati-hati dalam perdagangan komoditi ini,” katanya. 

Menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), pasaran getah dijangka tidak menentu minggu depan disebabkan ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dengan kemungkinan ancaman perang perdagangan baharu.

Katanya Bank Dunia turut memberi amaran bahawa tarif AS boleh mengurangkan unjuran pertumbuhan global.

“Harga akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS selain harga minyak mentah.

“Keadaan cuaca tidak menentu yang berterusan di negara-negara pengeluar utama getah juga akan terus mempengaruhi kebimbangan mengenai bekalan getah semasa,” katanya. 

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, pasaran getah Kuala Lumpur diniagakan bercampur-campur dengan harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 18.0 sen kepada 894.0 sen sekilogram manakala lateks pukal merosot 6.0 sen kepada 670.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan