JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Rugi RM500,000 Terpedaya Pelaburan Tidak Wujud

18/01/2025 12:25 PM

JOHOR BAHRU, 18 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas kerugian RM500,000 apabila terpedaya pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh.

Beliau berkata pihaknya menerima satu laporan semalam daripada mangsa berusia 84 tahun yang mendakwa dirinya telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan dan berurusan dengan individu bernama  “Dong Yuan” di talian +1(720)9843320 pada Oktober lepas.

“Dong Yuan” telah memberikan penerangan mengenai pelaburan itu yang menjanjikan keuntungan hingga 100 peratus.

Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah memuat turun aplikasi 'DIGZAXXCE' bagi memantau keuntungan dan sebanyak 12 transaksi pembayaran telah dibuat mangsa melalui cek ke dua akaun berbeza yang diberikan bermula 6 hingga 15 Jan dengan jumlah keseluruhan RM500,000.

"Mangsa menyedari ditipu setelah akauntannya memberitahu pelaburan itu tidak betul selepas diminta membuat bayaran tambahan jika ingin mengeluarkan wang keuntungan dalam dolar AS sepertimana dipaparkan dalam pautan (http://www.digzaxa.com).

“Sekiranya mangsa enggan membuat bayaran lebih, keuntungan akan dibekukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat  di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan  siasatan juga akan meliputi penglibatan 'keldai akaun'. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan