DUNIA

Pengerusi IKIM Terima Anugerah Tertinggi Daripada Persatuan Mualaf Singapura

18/01/2025 11:52 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 18 Jan (Bernama) -- Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty telah dianugerahkan penghormatan tertinggi oleh Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) pada Sabtu atas dedikasi, kepimpinan, dan impaknya yang membawa perubahan besar kepada persatuan itu.

Anugerah Berlian Kecemerlangan Akademik MCAS disampaikan oleh Menteri Kanan Negara bagi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Tenaga Manusia Singapura, Zaqy Mohamad, pada majlis sulung Anugerah Kecemerlangan Akademik MCAS 2025 yang berlangsung di Singapore EXPO.

Anugerah Berlian merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan oleh MCAS, juga dikenali sebagai Darul Arqam, kepada individu yang memberikan sumbangan berkekalan dalam pendidikan dan masyarakat sehingga meninggalkan legasi mendalam.

Presiden MCAS Muhammad Imran Kuna berkata Muhammad Nur telah menyumbang secara meluas kepada pertumbuhan dan kemajuan MCAS.

"Datuk adalah antara perintis yang memulakan sistem pendidikan untuk Darul Arqam. Beliau adalah salah seorang yang menemu duga pensyarah, dan dari semasa ke semasa, apabila ada perundingan, beliau sentiasa hadir," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Muhammad Nur berkata pengiktirafan ini mendorong beliau untuk menyusun lebih banyak program yang inklusif bagi masyarakat pelbagai agama di rantau Asia Tenggara, khususnya di Malaysia dan Singapura.

"Saya berbangga dengan komitmen MCAS kepada perjuangan pendidikan Islam dan dakwah. Kami di IKIM juga akan terus bekerjasama dengan MCAS di masa depan," katanya kepada Bernama.

Muhammad Nur, 75, pernah berkhidmat sebagai Perunding Pendidikan Islam di MCAS dari 2000 hingga 2009, dan beliau memainkan peranan penting dalam memperhalusi kurikulum pendidikan Islam dan kaedah dakwah.

Menurut MCAS, bekas senator itu turut berperanan besar dalam membangunkan kursus khas untuk mualaf baharu, termasuk mata pelajaran seperti Akidah, Fiqah, dan Sejarah.

Usaha beliau meliputi menyemak semula buku teks, penganjuran seminar, dan bengkel yang bertujuan meningkatkan pengalaman pendidikan mualaf daripada pelbagai latar belakang.

Bimbingan beliau juga membantu membentuk rangka kerja pendidikan persatuan itu, memastikan kurikulum memenuhi piawaian tertinggi.

Pada majlis itu, MCAS turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada lebih 70 pendidik agama yang berdedikasi serta mengiktiraf pelajar terbaik daripada madrasah tempatan.

Persatuan itu juga melancarkan beberapa inisiatif perintis di bawah Projek SEED, termasuk pendidikan madrasah hujung minggu percuma, perkhidmatan pengangkutan percuma untuk pelajar di seluruh pulau, serta pembiayaan yuran penuh bagi semua pelajar yang mendaftar dalam Kelas Kanak-Kanak Darul Arqam.

Menurut MCAS, inisiatif yang memanfaatkan 250 pelajar bermula Januari 2025 itu menetapkan penanda aras baharu untuk ketercapaian pendidikan di Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan