MELAKA, 19 Jan (Bernama) -- Tiga Taman MADANI telah dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh tahun lepas dalam usaha meningatkan perpaduan antara penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Kerk Chee Yee berkata tiga taman berkenaan ialah Taman Ayer Keroh Height, Ayer Keroh; Taman Sutera Wangi, Batu Berendam dan Taman Kerjasama, Bukit Beruang.
"Menerusi inisiatif Taman MADANI di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), taman berkenaan dinaik taraf dengan pelbagai infrastruktur awam untuk kegunaan penduduk setempat atau komuniti.
"Usaha itu secara tidak langsung menjadikan taman berkenaan sebagai platform untuk komuniti melaksanakan pelbagai aktiviti sekali gus dapat memperkukuh perpaduan antara penduduk pelbagai kaum," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Hiasan Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat DUN Ayer Keroh yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Kerk berkata susulan impak positif itu, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya tiga lagi Taman MADANI dibangunkan dalam tahun ini di dalam DUN berkenaan bagi memastikan lebih ramai penduduk setempat mendapat manfaat daripada pelaksanaan inisiatif itu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata hampir 100 tanglung dan lampu hiasan dengan pelbagai bentuk klasik dan tradisional dipasang di padang Taman Bukit Melaka bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata pemasangan hiasan termasuk menggunakan barangan kitar semula itu dilaksanakan secara sukarela oleh penduduk setempat dengan kos tidak lebih RM30,000.
"Orang ramai berpeluang bergambar di padang berkenaan dan kawasan itu dibuka kepada awam secara percuma setiap hari bermula Jumaat hingga perayaan Chap Goh Mei," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial