DUNIA

Kehidupan Penduduk Terjejas Banjir, Tumpuan Tinjauan Presiden Xi Di Liaoning

23/01/2025 02:29 PM

HULUDAO (China), 23 Jan -- Presiden China Xi Jinping pada Rabu melawat mangsa banjir di sebuah kampung di Provinsi Liaoning, timur laut negara ini.

Lawatan Xi ke Kampung Zhujiagou, Kaunti Suizhong di Bandar Huludao diadakan sempena Tahun Baharu China (TBC), perayaan paling penting bagi rakyat China, yang disambut pada 29 Jan ini.

Xi diberi taklimat mengenai pembangunan semula pasca bencana, melawat rumah baharu penduduk, sambil melihat sendiri kualiti rumah yang dibina semula, jaminan kehidupan seharian dan perkembangan yang lain.

Untuk rekod, pada Ogos tahun lepas, bandar Huludao dilanda hujan lebat yang jarang berlaku dalam sejarah sehingga menyebabkan banjir teruk.

Zhujiagou yang terletak di kawasan pergunungan dan kawasan tanah rendah merupakan antara  kampung paling teruk terjejas akibat banjir itu.

Selepas banjir, kampung itu membina rumah baharu untuk 41 keluarga yang paling teruk terjejas. Rumah baharu dibina hampir 40 meter lebih tinggi berbanding rumah lama.

Lawatan ke Liaoning kali ini merupakan tinjauan pertama Presiden Xi pada tahun ini, dan ia juga tradisi beliau untuk menziarahi dan menyantuni penduduk serta pegawai di peringkat akar umbi menjelang perayaan TBC sejak beliau menyandang Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) 13 tahun lepas.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan