KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini menjadikan usaha memperkasakan penabungan sebagai agenda utama dalam mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman sekali gus meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata inisiatif berkenaan telah dilaksanakan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN), yang merangkumi Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus, masing-masing menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada para pendeposit.
“Antara kelebihan Simpan SSPN ialah perlindungan manfaat takaful secara percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif dan patuh syariah.
“Pada Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI), dengan mereka yang layak kini boleh memohonnya sehingga RM5,000 untuk satu keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid di sini hari ini.
Norliza berkata Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej mampu milik dan manfaat perlindungan takaful yang komprehensif dengan komitmen serendah RM30 hingga RM500 sebulan.
“Produk ini menyediakan manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, khairat kematian bagi pendeposit, pasangan dan lima orang anak serta perlindungan ini dapat dinikmati sehingga umur pendeposit mencapai 69 tahun.
“Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan juga bersetuju memberi insentif pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan bersih Simpan SSPN sehingga RM8,000 setahun yang dilanjutkan hingga tahun taksiran 2027,” katanya.
Mengulas mengenai pelancaran Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025, Norliza berkata PTPTN menawarkan hadiah lumayan bernilai lebih RM1.5 juta untuk dimenangi 550 orang pendeposit dengan tempoh kempen bermula 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini.
“Melalui penabungan, PTPTN sebenarnya sedang meletakkan asas untuk masa depan kewangan yang kukuh...dengan menabung, PTPTN telah menyediakan peluang pendidikan yang lebih terjamin kepada anak-anak terutama dalam berdepan kos pendidikan tinggi yang semakin meningkat.
“Sambil menabung, rebutlah peluang menyertai cabutan untuk memenangi pelbagai hadiah yang ditawarkan. Simpan lebih, peluang menang pun lebih. Besar harapan saya cabutan tahun ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.
Pada majlis yang sama, PTPTN turut meraikan pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 Kategori Cabutan Siri WOW! Superheroes dan Cabutan Tahunan yang berakhir 31 Dis 2024.
Norliza berkata hadiah yang disediakan bukan sahaja menjadi galakan kepada masyarakat untuk terus menabung dalam Simpan SSPN, malah ditambah dengan tawaran hadiah menarik dan dividen kompetitif, berjaya menarik lebih 500,000 pembukaan akaun baharu sepanjang 2024.
Ch'ng Sheng Cheang, 55, dari Balik Pulau, Pulau Pinang yang menjadi pemenang kategori Platinum dan membawa pulang Proton X90 Flagship, berkata beliau telah membuat Simpan SSPN sejak 2014 dan pelepasan taksiran cukai pendapatan antara faktor beliau menyimpan di platform itu.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada PTPTN kerana mewujudkan Simpan SSPN dan lebih mengejutkan, saya menang dalam cabutan ini,” katanya sambil menambah akan menyerah kereta dimenangi kepada anak perempuannya, Ch’ng Zi Ying, 19, yang sedang menuntut di sebuah universiti dalam bidang perubatan.
Mohd Azuan Ramli, 38, pemenang kategori Silver yang membawa pulang Proton X70 Flagship X pula berkata beliau menabung untuk anak lelaki tunggalnya yang kini berusia enam tahun sejak 2019.
“Saya ketika itu ke sebuah agensi dan ada pameran PTPTN sedang berlangsung. Ketika itu potongan RM30 sahaja sudah boleh membuat simpanan. Saya terus bersetuju,” katanya sambil mengajak orang ramai untuk membuat simpanan di dalam Simpan SSPN.
Sehingga 31 Dis 2024, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM20.56 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 6.77 juta direkodkan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh akses di pautan www.ptptn.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial