SEREMBAN, 30 Jan (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti mencuri kabel di Jalan Nilai Perdana 1, Nilai dekat sini. awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan selepas anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menerima maklumat berkenaan kejadian tersebut kira-kira 3 pagi.
“Setibanya anggota URB di lokasi kejadian, mereka mendapati dua lelaki sedang bersembunyi dalam kereta, manakala seorang lagi berada di dalam kawasan semak.
“Ketika serbuan, polis turut merampas segulung kabel berwarna hitam, dua alat pemotong kabel, batang besi, sabit, kereta dan beberapa kunci,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua lelaki tersebut mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan narkotik, dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.
Abdul Malik berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini direman selama empat hari sehingga 2 Feb.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial