KOTA KINABALU, 30 Jan (Bernama) -- Sabah Electricity terus melakukan pemantauan bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir bagi memastikan sistem bekalan berfungsi dengan sempurna dan selamat.
Ketua Pegawai Operasinya Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata syarikat berkenaan telah mengerahkan pasukan teknikal untuk bersiap sedia 24 jam membaiki sebarang kerosakan di daerah terjejas banjir iaitu Kota Marudu, Telupid, Lahad Datu, Pitas, Kota Belud, Beluran, Sandakan, Paitan, Beufort, dan Tongod.
“Langkah itu termasuk penyediaan set janakuasa bergerak yang akan ditempatkan di lokasi strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat malam ini, jumlah mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 4,383 orang daripada 1,475 keluarga ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 3,929 mangsa daripada 1,365 keluarga petang tadi.
Bagaimanapun Yusmanizam berkata atas dasar keselamatan, bekalan di pencawang elektrik yang ditenggelami banjir terpaksa dimatikan dan kerja-kerja pembaikan akan dibuat sejurus selepas paras air surut dan keadaan selamat.
Beliau berkata Sabah Electricity juga telah membuka bilik gerakan di semua daerah terlibat untuk memantau keadaan dan bertindak dengan kadar segera jika terdapat bahaya berkaitan dengan keselamatan elektrik.
“Buat masa ini, keselamatan semua rakyat Sabah yang terjejas banjir adalah keutamaan kami dan kita juga akan pastikan pemulihan bekalan elektrik dapat disegerakan apabila keadaan benar-benar selamat,” katannya.
Mohd Yusmanizam turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air selain jangan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembab kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik.
Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir juga dinasihatkan untuk segera menghubungi Sabah Electricity di talian 15444, 088-515000 atau WhatsApp 019-8525427.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial