AM

PM Anwar Arah NADMA Perkemas Kekuatan Jentera Hadapi Banjir Di Sabah, Sarawak

30/01/2025 05:21 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri susulan banjir yang melanda Sabah dan Sarawak.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata keutamaan ketika ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan yang terkesan.

“Berdukacita menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak. Saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana yang terkesan dengan bencana ini,” katanya.

Anwar berkata Jabatan Pendidikan Negeri turut diarah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.

Beliau berkata Skuad Ihsan MADANI akan turun membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) serta siap siaga bagi penugasan pascabanjir.

“Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” kata Anwar.

Menurut portal bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), sebanyak 10,621 mangsa banjir melibatkan 6,692 orang di Sarawak dan 3,929 orang di Sabah ditempatkan di PPS setakat 4 petang ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan