DUNIA

Jawatankuasa Gaza Nanti Mesyuarat Lembaga Keamanan Sahkan Komitmen Dana Bantuan, Pembangunan Semula

10/02/2026 12:38 AM

KAHERAH, 9 Feb (Bernama-Anadolu) -- Ketua jawatankuasa Palestin yang ditugaskan untuk mentadbir Semenanjung Gaza pada Isnin memaklumkan bahawa panel itu sedang menantikan mesyuarat Lembaga Keamanan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, pada minggu hadapan bagi mengesahkan komitmen pembiayaan usaha bantuan dan pembinaan semula di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi.

"Kami sedang merangka pelan yang sesuai untuk bantuan serta kemasukan bekalan kesihatan dan pendidikan ke Semenanjung Gaza," kata Ali Shaath, Ketua Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), kepada Al-Qahera News selepas melawat pintu sempadan Rafah di sebelah Mesir.

"Kami telah mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara Arab untuk membincangkan sokongan terhadap Gaza, dan kami telah menerima komitmen pembiayaan yang diperlukan untuk bantuan, pemulihan serta pembinaan semula," katanya.

Shaath berkata Lembaga Keamanan dijadualkan bermesyuarat di Washington pada 19 Feb ini bagi mengesahkan komitmen dana dan bantuan yang diperlukan.

"Kami telah meninjau bahagian Mesir di pintu sempadan Rafah untuk melihat prosedur logistik bagi memudahkan pergerakan rakyat Palestin," katanya.

Di bawah sekatan Israel yang amat ketat, Israel membuka semula pintu sempadan Rafah di sebelah Palestin pada 2 Feb bagi membolehkan pergerakan orang ramai dari kedua-dua arah. Israel telah menduduki pintu sempadan itu sejak Mei 2024.

Shaath berkata Mesir sedang melakukan "usaha besar" untuk menghantar kuantiti bantuan yang banyak ke Semenanjung Gaza dan sedang melaksanakan pelbagai langkah logistik di pintu sempadan Rafah bagi memudahkan urusan keluar masuk rakyat Palestin.

"Rakyat Palestin berterima kasih kepada kepimpinan Mesir atas usaha gigih mereka bagi menghalang pengusiran rakyat Palestin," katanya sambil memuji peranan Kaherah dalam menyokong hak rakyat Palestin untuk kembali ke Gaza.

NCAG merupakan badan bukan politik yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal perkhidmatan awam harian di wilayah itu. Ia terdiri daripada 11 tokoh Palestin selain pengerusinya.

Jawatankuasa itu memulakan tugasnya pada pertengahan Januari dari Kaherah dan masih belum beroperasi dari dalam Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan