AM

Ancaman Buaya Cabaran Laksana Operasi Bantu Mangsa Banjir Di Sabah

30/01/2025 07:32 PM

Oleh Ainul Durmahyanty Durming

LAHAD DATU, 30 Jan (Bernama) -- Ancaman buaya menjadi antara cabaran besar buat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dan anggota penyelamat lain di daerah ini dalam membantu mangsa banjir di kawasan terjejas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata pihaknya mengambil langkah berwaspada dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dalam mengendalikan situasi berkenaan.

Beliau berkata walaupun pasukan penyelamat menemukan kelibat buaya di kawasan terlibat, ia tidak mematahkan semangat anggota untuk menghulurkan bantuan dan memindahkan mangsa banjir ke tempat lebih selamat.

"Kami sentiasa memantau pergerakan buaya di kawasan operasi. Keselamatan anggota penyelamat dan mangsa adalah keutamaan kami. Kerjasama dengan JHL Sabah dan APM amat penting kerana mereka mempunyai kepakaran dalam mengendalikan hidupan liar.

“Ada juga rasa takut, tetapi kami terus lakukan (beri bantuan dan menyelamat) kerana mahu mangsa banjir semua selamat," katanya ketika dihubungi  Bernama hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan sebanyak 3,929 mangsa daripada 1,365 keluarga dipindahkan ke 29 pusat pemindahan sementara (PPS) pada petang ini, dengan 316 mangsa daripada 84 keluarga dipindahkan di tiga PPS di Lahad Datu.

Sumsoa berkata operasi menyelamat diteruskan terutama kawasan terjejas teruk di Kampung Sepadulang, Segama walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk laluan terputus dan keperluan untuk menarik bot secara manual di kawasan yang tidak ditenggelami air.

Sementara itu, jurucakap JHL Sabah mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sepanjang musim hujan dan banjir besar, terutamanya terhadap kemungkinan kehadiran haiwan reptilia berkenaan.

“Keadaan paras air yang semakin naik akibat hujan berterusan meningkatkan kemungkinan kehadiran buaya di kawasan berhampiran sungai dan parit, termasuk parit besar di kawasan perumahan dan longkang. 

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan diri berada di sekitar kawasan berisiko dan jangan melalui atau bermain di kawasan parit besar, tepi sungai atau bermandi-manda di kawasan rumah semasa hujan lebat atau banjir,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh terus menghubungi talian JHL Sabah di 089-561527, atau talian terus pasukan JHL Sabah di Lahad Datu di 089-551121 bagi sebarang kecemasan mengenai buaya atau hidupan liar lain.

Seorang mangsa banjir Dony Diansoy, 48, berkata walaupun kejadian banjir sering berlaku di Lahad Datu, kali ini situasinya lebih serius dengan air melebihi paras pinggang, menyebabkan mereka memerlukan bantuan pasukan bomba.

"Berbanding banjir sebelum ini yang hanya mencecah paras lutut, kali ini keadaan lebih membimbangkan kerana hujan berterusan dan air naik dengan cepat pada waktu malam. Keselamatan keluarga menjadi keutamaan, terutamanya dengan kehadiran buaya di kawasan ini," katanya sambil mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pasukan penyelamat yang menyelamat dan memindahkan dia sekeluarga ke PPS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan