JENAYAH & MAHKAMAH

Op Selamat 23: Polis Pahang Keluarkan 3,396 Saman Atas Pelbagai Kesalahan

31/01/2025 04:29 PM

KUANTAN, 31 Jan (Bernama) -- Polis mengeluarkan 3,396 saman melibatkan pelbagai kesalahan trafik dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina bermula Selasa lepas. 

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin berkata antara kesalahan yang direkodkan pengguna jalan raya ialah memandu melebihi had laju, tiada lesen dan cukai jalan serta tidak memakai tali pinggang keledar dan topi keledar. 

Beliau berkata jumlah kemalangan maut di negeri berkenaan tidak menunjukkan perubahan dengan pihaknya merekodkan dua kes, sama seperti tahun lepas meskipun tindakan penguatkuasaan telah diambil.

“Kes kemalangan di Pahang dalam tempoh tiga hari Op Selamat pula didapati meningkat, iaitu mencatatkan 199 kes berbanding 176 kes pada tahun lepas, bertambah 23 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini hari ini, yang bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi. 

Kempen berkenaan juga tidak hanya berkaitan keselamatan jalan raya, tetapi turut memberi fokus kepada keselamatan kediaman semasa ketiadaan penghuni kerana cuti perayaan dan cuti persekolahan yang panjang.

Noor Hisam berkata sebanyak 281 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi selama enam hari bermula pada 28 Jan sehingga 2 Feb. 

Beliau berkata pihaknya turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui 38 lokasi dikenal pasti kerap berlaku kemalangan, selain 22 kawasan sering mengalami kesesakan lalu lintas di seluruh negeri berkenaan.

“Jangan memandu dalam pengaruh dadah dan alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sentiasalah bertimbang rasa di jalan raya.

“Bagi pengusaha syarikat kenderaan pengangkutan awam pula, mereka hendaklah memastikan kenderaan seperti bas berada dalam keadaan baik, dan tahap kesihatan pemandunya stabil,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan