JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Penganggur Didakwa Bunuh Warga Emas Dan Anak Angkat

03/02/2025 01:56 PM

ALOR SETAR, 3 Feb (Bernama) -- Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh dua lelaki termasuk seorang warga emas di sebuah rumah di Tongkang Yard di sini, bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Fitri Saiful Rizuan Musa, 29, dan Muhammad Haizan Abdul Rahim, 19, sebaliknya mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.

Mereka didakwa membunuh Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, di sebuah rumah di Lorong Rose, Jalan Kota Tanah di Tongkang Yard pada 3.30 pagi, 21 Jan.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta dengan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Huda Diyanah Amir Hamzah manakala Mohd Fitri Saiful dan Muhammad Haizan tidak diwakili peguam.

Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah tidak membenarkan ikat jamin terhadap kedua-dua lelaki itu dan menetapkan 14 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan forensik.

Dalam kejadian 21 Jan, Ibrahim dan anak angkatnya ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan