BUTTERWORTH, 3 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 27,000 liter diesel yang cuba diseleweng dalam serbuan ke atas sebuah sebuah stor haram di tepi Sungai Perai, Sungai Lokan di sini hari ini.
Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata serbuan pada 2 petang itu, dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan pihaknya sejak dua bulan lepas.
"Stor haram itu terletak jauh dari jalan utama dan bersebelahan Sungai Perai dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Pasukan kami menggunakan dron membuat pemantauan sebelum menyerbu stor berkenaan dan menahan empat lelaki tempatan yang berada di situ," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Jegan berkata empat lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 60-an yang ditahan itu merupakan pekerja sindiket dengan tiga daripadanya adalah pemandu manakala seorang lagi penjaga stor.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan sebuah lori yang telah diubah suai, lori tangki dan kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penyelewengan diesel.
Jegan berkata modus operandi sindiket itu adalah membeli diesel menggunakan lori yang telah diubah suai di stesen minyak sekitar Butterworth dengan stor itu sebagai tempat menyimpan dan memindahkan bahan api berkenaan sebelum dijual di pasaran tempatan.
"Kami telah membuat pemantauan kerana terdapat pergerakan lori termasuk lori tangki ke stor haram berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan termasuk bagi mengesan rangkaian sindiket itu," katanya dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Jegan berkata selain 27,000 liter diesel, turut ditemukan paip penyambung, beberapa dokumen berkaitan jual beli minyak diesel serta pelbagai peralatan yang kesemuanya bernilai RM260,800 termasuk tiga buah kenderaan.
Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penyelewengan diesel sejak enam bulan lepas dan mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan hasil kegiatan itu.
Menurut beliau stor haram itu pernah diserbu tahun lepas kerana kesalahan yang sama dan pihaknya percaya sindiket itu lebih berhati-hati bagi mengelak dikesan namun taktik mereka tetap berjaya dibongkar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial