KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap pautan serta akaun media sosial palsu yang menyalahgunakan jenama dan gambar Bank Islam bagi tujuan penipuan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff dalam kenyataan berkata semua kempen yang dianjurkan pihaknya hanya dipromosikan menerusi saluran rasmi Bank Islam.
“Bank Islam sentiasa mengutamakan keselamatan data dan kepentingan pelanggan. Kami tidak akan meminta maklumat peribadi atau sensitif pelanggan seperti nombor akaun, kata laluan atau kod kata laluan satu kali (OTP) melalui laman web mahupun akaun media sosial bagi sebarang kempen yang dijalankan.
“Malah promosi-promosi mengenai kempen hanya dilakukan pada laman rasmi Bank Islam sahaja. Oleh itu, kami menggesa orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan taktik licik golongan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Iran Moriff turut meminta orang ramai untuk sentiasa memastikan kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya.
“Semua maklumat rasmi berkaitan kempen, promosi, atau produk perbankan, hanya akan disiarkan melalui saluran rasmi iaitu laman web rasmi Bank Islam di pautan www.bankislam.com dan media sosial Bank Islam adalah Facebook Bank Islam Malaysia Berhad, Instagram bankislam dan X myBankIslam serta LinkedIn Bank Islam Malaysia Berhad,” katanya.
Pada masa sama, pengguna juga disarankan melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa dengan berhati-hati pautan boleh diklik, sentiasa log masuk ke akaun perbankan melalui laman web rasmi Bank Islam, memerhatikan pautan laman web dengan teliti sebelum meneruskan aktiviti perbankan.
Selain itu, beliau juga meminta orang ramai supaya memastikan imej dan kata keselamatan yang betul sebelum memasukkan kata laluan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial