AM

Dasar Baharu Trump 2.0 Tumpuan Perbahasan Dewan Rakyat Hari Ini

05/02/2025 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan dasar serta polisi hubungan antarabangsa dan ekonomi ‘keras’ yang diperkenalkan Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump 2.0 menjadi tumpuan pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja membangkitkan kebimbangan terhadap tindakan pemimpin barat itu yang dilihat boleh mencetuskan perang perdagangan global, malah mereka turut menyelar cadangan Trump untuk mengambil alih Semenanjung Gaza.

Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) berkata Malaysia perlu menggunakan peranan sebagai Pengerusi ASEAN untuk mengukuhkan kesatuan politik serta menyelaraskan dasar ekonomi blok itu bagi mendepani kesan tindakan dasar Trump 2.0

“Dasar tarif universal dan sekatan perdagangan yang dikenakan terhadap China, Mexico dan Kanada bukan sahaja menggugat kestabilan rantai bekalan global, malah memberi kesan langsung kepada negara-negara ASEAN.

“Malaysia sebagai yang bergantung kepada ekonomi eksport tidak boleh hanya menjadi pemerhati. Kita perlu mendesak ASEAN untuk bertindak sebagai satu blok lebih bersepadu untuk menjamin kestabilan ekonomi serantau dan tidak menjadi mangsa perang perdagangan yang tidak menguntungkan,” katanya ketika membahaskan usul itu.

Doris Sophia berkata rantau itu perlu terus mempertahankan perdagangan bebas dan menolak dasar perlindungan yang mengancam ekonomi ASEAN.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada AS dan perlu memperkukuhkan hubungan dengan negara atau kuasa lain seperti Kesatuan Eropah (EU), China dan negara-negara BRICS bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.

Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi pula menyarankan Malaysia meneroka peluang baharu terutama dalam sektor pembuatan dan teknologi susulan perubahan dasar global tersebut.

“Secara keseluruhan dasar Trump terhadap China atau EU dan lain-lain harus dilihat secara serampang dua mata, ada cabaran namun ada juga peluang baharu… justeru, kita perlu mengambil kesempatan daripada perubahan dasar global ini,” katanya.

Beliau berkata di samping negara merangka pelan untuk menghadapi kesan negatif dasar Trump itu, Malaysia perlu terus meningkatkan pelaburan asing dan meningkatkan potensi eksport ke negara lain.

Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata Perikatan Nasional (PN) mendesak agar sidang khas Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) diadakan bagi membincangkan isu Palestin, susulan pengumuman mengejut Trump untuk mengambil alih Semenanjung Gaza.

Beliau berkata langkah diambil Trump yang turut mencadangkan penempatan semula penduduk Palestin secara kekal di luar wilayah itu, seumpama mengisytihar perang terhadap umat Islam dan semua pencinta kemanusiaan.

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) pula menggesa kerajaan ambil langkah persediaan bagi memastikan rantaian bekalan ubat dan vaksin tidak akan terjejas susulan keputusan AS menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), malah AS merupakan antara penyumbang utama kepada sumber kewangan WHO sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan perlu sedar bahaya kelompok domino capitalisme yang sering membuat keputusan berasaskan keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada negara lain.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan