POLITIK

Hala Tuju UMNO, Persediaan PRU16 Dijangka Fokus Utama Ucapan Dasar Presiden – Razlan

15/01/2026 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2025 esok, dijangka menyentuh hala tuju dan persediaan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii berkata tumpuan dijangka turut diberikan kepada persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

“Pada perhimpunan kali ini juga paling penting, kita akan membicarakan tentang keutamaan orang Melayu, Islam dan juga Raja-Raja Melayu, serta mencari titik pertemuan (untuk) menyatukan semula seluruh  perjuangan orang Melayu di bawah UMNO,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Razlan yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pandangan   dikemukakan perwakilan pada sesi perbahasan akan diteliti secara menyeluruh, bagi merangka formula terbaik untuk dibincangkan pada peringkat tertinggi parti sebelum dijadikan panduan UMNO pada masa hadapan.

Sementara itu, beliau menegaskan UMNO akan terus berperanan sebagai pengimbang kepada dasar-dasar, khususnya yang melibatkan kepentingan orang Melayu dalam Kerajaan Perpaduan.

“Selagi UMNO berada dalam kerajaan, kita akan terus mempertahankan kepentingan orang Melayu,  meskipun terdapat pandangan yang mempersoalkan peranan UMNO sebagai parti minoriti dalam gabungan kerajaan ketika ini,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Jan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Sebanyak 6,412 perwakilan telah mendaftar melibatkan 2,928 orang bagi Perhimpunan Agung UMNO   2025, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita (1,165), Pemuda (1,173) dan Puteri (1,146).

Perhimpunan Agung UMNO bermula secara rasmi esok dengan majlis menaikkan bendera, sebelum ucapan dasar Presiden UMNO diikuti sesi perbahasan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan