SUKAN

MotoGP: Alex Marquez Cemerlang Ujian Pramusim Di Sepang

07/02/2025 09:49 PM

SEPANG, 7 Feb (Bernama) -- Bekas juara dunia Moto2 dan Moto3 Alex Marquez bersedia melakar kejayaan dalam kelas MotoGP musim ini selepas muncul pelumba terpantas dalam ujian pramusim MotoGP 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.

Pelumba Gresini Racing berusia 28 tahun itu menamatkan ujian selama tiga hari di Sepang dengan catatan masa satu minit dan 56.493 saat (s), hanya 0.156s lebih perlahan daripada rekod pusingan 1:56.337s yang dicatat Francesco Bagnaia dalam sesi kelayakan Grand Prix (GP) Malaysia tahun lepas.

Bagnaia, juara dunia dua kali daripada Ducati Lenovo yang dikenali sebagai Pecco menduduki tempat kedua dengan catatan 1:56.500s dan merupakan antara empat pelumba yang mencatat masa kurang 1:57s.

Juara dunia 2021 Fabio Quartararo daripada Monster Energy Yamaha di tempat ketiga dengan masa 1:56.724s, manakala pelumba terpantas semalam, Franco Morbidelli daripada Pertamina Enduro VR46 Racing Team melengkapkan senarai empat terbaik dengan 1:56.948s sekali gus menjanjikan persaingan sengit dalam perebutan gelaran musim ini.

Bercakap kepada pemberita selepas ujian itu, Marquez dari Sepanyol berkata jentera Ducati GP24 miliknya memberikan respons positif dan antara yang terbaik menjelang pusingan terakhir ujian pramusim di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand.

“Motosikal ini memberikan tindak balas yang baik apabila dikerah dan mampu pergi lebih lagi. Semuanya nampak positif, tetapi ini adalah Sepang dan saya memang gemar litar ini. Kami perlu tetap tenang dan ke Thailand untuk melihat bagaimana prestasi kami di sana,” katanya.

Meskipun dinaikkan ke perlumbaan MotoGP pada 2020 dengan harapan tinggi diberikan kepadanya, adik kepada Marc Marquez yang juga juara dunia enam kali itu bagaimanapun masih belum memenangi sebarang perlumbaan dalam tempoh lima musim dan hanya lima kali menaiki podium.

“Keputusan ini penting bagi saya untuk musim yang mantap dan berada dalam kedudukan yang baik dalam perebutan kejuaraan. Namun masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan. Kami sedang melakukan tugas yang baik, tetapi kami perlu terus berusaha.

“Kami masih mempunyai banyak perkara yang perlu dinilai, seperti prestasi pelumba lain serta jentera mereka apabila semua pasukan melengkapkan persediaan dan komponen yang diuji. Setelah semuanya dimuktamadkan, kami akan lebih memahami kedudukan sebenar sebelum musim bermula,” katanya.

Para pelumba akan melakukan ujian pramusim terakhir di Buriram dari 12 hingga 14 Feb, sebelum musim bermula dengan GP Thailand yang dijadual berlangsung dari 28 Feb hingga 2 Mac.

SIC akan menjadi tuan rumah bagi GP Malaysia dari 24 hingga 26 Okt.

Keputusan 10 pelumba terpantas: 

  1. Alex Marquez (ESP) Gresini Racing - 1:56.493s
  2. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo - 1:56.500s
  3. Fabio Quartararo (FRA) Monster Energy Yamaha - 1:56.724s
  4. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina Enduro VR46 - 1:56.948s
  5. Marc Marquez (ESP) Ducati Lenovo - 1:57.042s
  6. Pedro Acosta (ESP) Red Bull KTM Factory - 1:57.175s
  7. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR - 1:57.204s
  8. Joan Mir (ESP) Honda HRC Castrol - 1:57.279s
  9. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing - 1:57.328s
  10. Alex Rins (ESP) Monster Energy Yamaha - 1:57.351s-- BERNAMA

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan