LANGKAWI, 15 Feb (Bernama) -- Dalam usianya yang mencecah 71 tahun, Serian Said masih cekal menempuh perjalanan merentasi lautan setiap bulan demi membeli barangan keperluan asas.
Hari ini, warga emas dari Pulau Tuba di sini tetap gigih menaiki bot tambang selama 15 minit ke Pekan Kuah bagi mendapatkan barangan keperluan harian dengan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterima.
“Di Pulau Tuba belum ada kedai yang berdaftar untuk SARA, jadi makcik perlu naik bot ke Pekan Kuah.
“Perjalanan ini memang agak meletihkan, tapi makcik gembira kerana dapat membeli barang dengan bantuan ini,” katanya ketika ditemui selepas membeli keperluan di sebuah pasar raya di sini.
Serian yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap berkata bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan.
Walaupun menerima RM100 sebulan, dia bijak mengatur perbelanjaan dengan menyimpan sedikit setiap bulan sebagai persiapan menyambut Ramadan.
“Makcik beli barang ringan sahaja, macam beras dan barang berat lain makcik tak beli lagi sebab susah nak bawa balik naik bot,” ujarnya sambil tersenyum.
Hari ini, Serian berkesempatan bertemu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang melawat pasar raya berkenaan.
Dalam pertemuan ringkas itu, dia menyuarakan harapannya agar lebih banyak kedai di Pulau Tuba didaftarkan bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan keperluan asas tanpa perlu menyeberangi laut.
Bagi seorang lagi penerima SARA, Che Wa Saleh, 66, dari Kedawang, bantuan itu memberikan kelegaan kerana dia tidak perlu lagi membawa wang tunai atau bergantung kepada anak-anak untuk mengimbas kod QR.
“Kalau kena scan QR, memang makcik tak pandai. Tapi dengan MyKad, semuanya lebih mudah,” katanya yang turut menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), satu lagi inisiatif kerajaan yang membantu kelangsungan hidupnya.
M. Rajesh, 38, pekerja swasta yang pertama kali menerima SARA tahun ini, mengakui kenaikan kos sara hidup turut menjejaskan golongan bujang sepertinya.
“Walaupun bujang, gaji saya tak tinggi. SARA sedikit sebanyak membantu meringankan beban,” katanya.
SARA merupakan bantuan bersasar bulanan yang dikreditkan ke dalam MyKad untuk membeli barangan keperluan asas di kedai runcit berdaftar.
Bilangan penerima SARA di Langkawi pada Januari 2025 adalah seramai 1,720 penerima miskin serta miskin tegar dalam rekod eKasih dan bermula April 2025, apabila bantuan SARA diperluaskan kepada penerima STR, jumlah ini akan meningkat kepada 31,000 penerima.
Bagi seluruh negara, bermula April 2025 ini, kerajaan memperluas bantuan itu kepada seramai 4.7 juta penerima STR untuk menerima bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan, menjadikan penerima SARA meningkat kepada 5.4 juta berbanding 700,000 penerima sedia ada.
Penambahbaikan itu adalah peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi STR dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial