EKONOMI

Saliran Baru Yang Akan Disenarai Di Pasaran ACE Sasar RM21.71 Juta Daripada IPO

19/02/2025 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pembekal paip minyak dan gas (O&G) yang akan disenaraikan di Pasaran ACE, Saliran Group Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM21.71 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO).

Menurut prospektus yang dikeluarkan, IPO ini ditetapkan pada harga 27 sen sesaham, dan penyenaraian dijadualkan pada 13 Mac 2025.

Kumpulan berkata, daripada hasil berkenaan, sebanyak RM1.20 juta akan digunakan untuk penubuhan pejabat jualan di Indonesia; RM1.44 juta untuk pembelian jentera dan trak penghantaran; RM7 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank; RM8.37 juta bagi modal kerja am dan RM3.70 juta bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan Saliran Dennis Liaw Choon Wei berkata syarikat berhasrat untuk meningkatkan kesedaran pasaran dan pertumbuhan perniagaan di Indonesia selaku pasaran utama dalam sektor pembekalan industri dan O&G.

"Membuka pejabat di Indonesia akan membolehkan kami mempunyai lebih banyak peluang pertumbuhan dan pemasaran. Pasaran akan lebih mengenali kami," katanya dalam sidang media selepas pelancaran prospektus IPO Saliran di sini hari ini.

Mengenai impak tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap keluli, Liaw berkata perniagaan Saliran kekal tidak terjejas berikutan operasinya yang berpusat di Asia Tenggara.

"Impaknya hanya akan ketara sekiranya kami memperluas eksport ke AS atau pasaran berkaitan," katanya.

Saliran berkata IPO ini akan menawarkan sebanyak 80.4 juta saham biasa dengan 19.15 juta saham tersedia untuk rakyat Malaysia melalui pengundian dan 5.73 juta saham melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

"Baki 47.86 juta saham IPO akan disediakan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri," katanya dalam kenyataan.

Permohonan bagi terbitan awam bermula hari ini dan akan ditutup pada 5 petang 28 Feb 2025.

Malacca Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan