EKONOMI

Untung Bersih 99 Speed Mart Naik 22.5 Peratus Kepada RM490.26 Juta

24/02/2025 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) meningkat 22.5 peratus kepada RM490.26 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 daripada RM400.22 juta pada tahun kewangan 2023, seiring dengan peningkatan perolehan dan pendapatan operasi lain.

Peruncit rangkaian pasar mini tempatan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan menokok 8.3 peratus kepada RM9.98 bilion daripada RM9.21 bilion sebelum ini.

Menurutnya 99 Holdings telah membuka 252 lagi cawangan pada tahun kewangan 2024, menjadikan jumlahnya kepada 2,778 pada 31 Dis 2024, mewakili pertumbuhan 10 peratus tahun ke tahun yang menyumbang secara positif kepada perolehan kumpulan.

“Selain itu, platform e-dagang jualan pukal turut menyumbang kira-kira RM23.1 juta perolehan tambahan  kepada kumpulan bagi tahun kewangan 2024,” katanya.

Kumpulan itu melaporkan peningkatan 12.6 peratus jumlah transaksi jualan kepada 465.5 juta transaksi pada tahun kewangan 2024, yang sebahagiannya diimbangi oleh penyusutan 3.8 peratus purata saiz bakul kepada RM21.40.

Keadaan ini berikutan lebih ramai pelanggan memilih untuk membuat pembelian yang lebih kecil dan kerap disebabkan kemudahan yang disediakan oleh 99 Holdings, katanya.

“Pendapatan operasi lain meningkat 22.4 peratus kepada RM814.8 juta pada tahun kewangan 2024, didorong oleh fi pusat pengedaran (DC) yang lebih tinggi daripada pembekal berikutan kenaikan kadar fi DC serta fi paparan produk yang juga tinggi berikutan pengembangan cawangan.

“Pendapatan lain pula menokok 43.0 peratus kepada RM30.4 juta, disumbangkan terutamanya daripada pendapatan faedah yang diperoleh daripada penempatan deposit menggunakan hasil tawaran awam permulaan (IPO) serta pendapatan jualan sisa pembungkusan kitar semula,” katanya.

Dalam makluman berasingan, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings Lee Thiam Wah berkata 2024 adalah tahun yang mencatat kejayaan penting bagi kumpulan itu.

Beliau berkata syarikat bukan sahaja berjaya disenaraikan, malah melepasi sasaran dengan membuka 252 cawangan, melebihi sasaran 250 cawangan baharu.

“Pengembangan kami diteruskan apabila menembusi Sarawak, iaitu pasaran baharu dan menggalakkan kepada syarikat, dengan pusat pengedaran dan cawangan Miri yang akan dibuka pada Mac 2025.

“Pada masa hadapan, kami kekal menumpukan kepada matlamat strategik kami, termasuk mencapai pembukaan 3,000 cawangan menjelang akhir 2025 dan mengembangkan lagi platform e-dagang jualan pukal yang telah memaparkan pertumbuhan memberangsangkan di beberapa kawasan,” katanya.

Beliau berkata menerusi hasil daripada IPO berkenaan, 99 Holdings berada dalam kedudukan baik untuk mempercepat pengembangannya dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan