WASHINGTON, 19 Feb (Bernama-Xinhua) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Selasa bahawa beliau berhasrat untuk mengenakan tarif sekitar 25 peratus ke atas kereta import, dengan butiran lanjut akan diumumkan pada 2 April, lapor Xinhua.
"Saya mungkin akan memberitahu anda pada 2 April, tetapi ia dalam lingkungan 25 peratus," kata Trump dalam satu sidang media di kediamannya di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida.
Trump turut menyatakan bahawa tarif ke atas farmaseutikal dan cip pada mulanya akan ditetapkan sekitar 25 peratus dan akan "lebih tinggi secara ketara" dalam tempoh setahun.
Trump mendakwa bahawa tarif itu akan menggalakkan syarikat untuk kembali ke Amerika Syarikat, dan jika mereka mendirikan kilang di dalam negara, cukai tersebut akan menjadi sifar. Beliau berkata bahawa beberapa syarikat besar telah menyatakan minat untuk kembali ke Amerika Syarikat disebabkan dasar ekonomi negara berkenaan cukai, tarif dan insentif.
Pada 10 Feb, Trump menaikkan tarif ke atas aluminium dari 10 peratus kepada 25 peratus dan menamatkan pengecualian dan kelonggaran tarif ke atas keluli dan aluminium. Pada 13 Feb, beliau menandatangani memorandum yang mengarahkan jabatan berkaitan untuk menentukan "cukai timbal balik" dengan setiap rakan dagang asing.
Dasar cukai AS ini menghadapi bantahan meluas. Ahli politik, pemimpin perniagaan dan akademik di seluruh dunia percaya bahawa ia akan merosakkan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, memberi kesan kepada rantaian bekalan global, menghalang pemulihan ekonomi global, dan merugikan semua pihak yang terlibat.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial