FOKUS BERNAMA

Sisik Tenggiling Masih Diburu Untuk Kegunaan Ubat Tradisional

21/02/2025 11:31 AM
Daripada Soon Li Wei

Artikel ini adalah yang pertama daripada laporan tiga bahagian tentang ketersediaan ubat-ubatan berasaskan sisik tenggiling di pasaran, di sebalik larangan antarabangsa terhadap pemerdagangan tenggiling.  

 

Kira-kira 17 tahun lalu, atas nasihat seorang pengamal Perubatan Tradisional Cina (TCM) di Lembah Klang, seorang ahli perniagaan yang juga pemandiri kanser, mula mengambil ubat berasaskan sisik tenggiling bagi melegakan kesan daripada rawatan kemoterapi.

Dia yang enggan namanya didedahkan, mendakwa kesihatannya bertambah baik selepas mengambil ubat tersebut yang dikatakan dapat menambah baik peredaran darah serta mengurangkan rasa pening.

Bagaimanapun katanya, selepas penularan COVID-19, ubat itu semakin sukar diperoleh di Malaysia.

“Malah, harganya juga semakin mahal. Kali terakhir saya membeli ubat itu ialah pada 2019… ketika itu saya bayar sekitar RM400 untuk 15 pek yang dapat menampung keperluan saya selama tiga ke lima bulan,” katanya, menambah sebelum ini ubat berasaskan hidupan liar diperoleh di platform e-dagang serta kedai TCM yang menjualnya secara sembunyi-sembunyi. 

“Sekarang saya terpaksa meminta bantuan rakan di China untuk membeli ubat tersebut dan diposkan kepada saya,” kongsinya kepada Bernama. 

pic-2

Baru-baru ini dia beralih kepada ubat-ubatan berasaskan tumbuhan yang dipreskribkan oleh pengamal TCM. Ubat itu berkesan, namun katanya tidak “sekuat” ubat berasaskan sisik tenggiling.

Seorang pengamal TCM yang hanya mahu dikenali sebagai Jackie, berkata pada 2007, seorang pesakitnya meminta dia memproses sekitar 10 kilogram sisik tenggiling mentah yang dibeli di Sabah.

“Dia tawarkan saya sejumlah besar wang namun saya menolak kerana tidak mempunyai ruang simpanan selain sukar dikendalikan.

“Bagi dijadikan ubat, sisik tenggiling perlu disangai sehingga betul-betul kering sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara bagi menjamin kesegaran dan menghalangnya daripada berbau busuk,” kata Jackie, menambah sisik tersebut yang dibeli oleh pesakitnya daripada suku etnik di Sabah pada harga RM3,000 terpaksa dilupuskan begitu sahaja selepas beberapa hari kerana sudah mula membusuk.

 

PENGGUNAAN SISIK TENGGILING DALAM TCM

 

Meskipun tersenarai sebagai spesies terancam dan dilindungi menerusi larangan perdagangan antarabangsa, tenggiling yang merupakan mamalia pemakan semut dan anai-anai, amat dikehendaki di China dan Asia Tenggara. Sisik haiwan ini yang dipercayai mempunyai nilai perubatan dalam TCM, lazimnya digunakan untuk meningkatkan peredaran darah, menggalakkan penghasilan susu badan dan meredakan artritis.  

Tenggiling Sunda iaitu satu-satunya spesies asal Malaysia, disenaraikan sebagai Terancam secara Kritikal dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN (Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi).

Pakar tempatan berkata tenggiling Sunda, walaupun dilindungi oleh undang-undang tempatan dan antarabangsa, berada dalam keadaan terancam di Malaysia kerana diburu demi dagingnya yang dijadikan makanan selain untuk penyeludupan antarabangsa. 

Kata mereka pasaran gelap sisik tenggiling masih kukuh di sebalik tindakan China, iaitu pengguna terbesar sisik tenggiling, mengurangkan kuota tahunan sisik haiwan itu bagi kegunaan ubat-ubatan kepada satu tan metrik - bersamaan 2,000 ekor tenggiling -  pada November tahun lepas. 

pic-3

Menurut data terkini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Malaysia, sebanyak 6,000 kg bahagian haiwan, termasuk 112.20 kg sisik tenggiling, bernilai kira-kira RM80 juta disita oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Pelabuhan Klang pada Julai 2022.

Sementara itu, pakar herba di Sunway TCM Centre Huong Hee berkata dari segi sejarah, masyarakat Cina di Malaysia dan China percaya sisik tenggiling mempunyai nilai perubatan dengan permintaan di China jauh lebih tinggi sejak dahulu lagi, berikutan populasinya yang besar, kepercayaan turun-temurun dan industri TCM yang telah kukuh. 

“Bagaimanapun ada perbezaan ketara antara kedua-dua negara dari segi permintaan, peraturan dan penguatkuasaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun bahan daripada haiwan memainkan peranan dalam TCM sejak dulu lagi, ada pengganti berkesan dihasilkan daripada tumbuhan atau bahan sintetik yang “selari dengan piawaian dan penyelidikan saintifik moden”. 

“Contohnya, sisik tenggiling boleh digantikan dengan Wang Bu Liu Xing (biji benih Vaccaria) yang mempunyai kesan serupa,” katanya.

pic-4

 

PRODUK TCM BERASASKAN TENGGILING DI CHINA

Sebelum mengurangkan kuota tahunan penggunaan sisik tenggiling, China terlebih dahulu mengambil langkah melindungi mamalia itu yang merupakan haiwan paling banyak diseludup di dunia.  

Bermula 2019, kerajaan China mengeluarkan ubat mengandungi sisik tenggiling daripada liputan insurans perubatan bagi mengekang perdagangan tenggiling, terutama dari Asia Tenggara.

Dr Yifu Wang, profesor madya di Chinese University of Hong Kong, Shenzhen, yang pernah melakukan kajian tentang permintaan terhadap sisik tenggiling dalam TCM semasa menuntut di Universiti Cambridge, berkata pada Jun 2020, China menaik taraf semua spesies tenggiling sebagai hidupan liar dilindungi di peringkat negara.

Serentak itu, semua produk mengandungi sisik tenggiling dikeluarkan daripada senarai Pharmacopoeia China.

(Pharmacopoeia ialah dokumen rasmi di bawah undang-undang yang menghimpunkan piawaian dan spesifikasi kualiti ubat-ubatan yang digunakan di sesebuah negara atau rantau)

Tambah beliau, semasa penularan COVID-19, China mengangkat status tenggiling kepada spesies dilindungi Kelas I, iaitu tahap perlindungan perundangan tertinggi.   

“Usaha-usaha ini membawa perubahan seperti perdagangan sisik tenggiling merosot dengan ketara pada tahun-tahun belakangan ini, dipacu oleh langkah-langkah pemuliharaan yang diperhebat serta peraturan lebih ketat di China,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi Zoom.

pic-5

Menurut Wang, situasi itu disaksikannya semasa melawat hospital-hospital perubatan Cina dan farmasi pada 2023.

“Dalam tempoh 2008 hingga 2015, kuota tahunan (untuk kegunaan dalam perubatan tradisional) ialah sekitar 25,000 kg setahun, namun sekarang dikurangkan kepada 1,000 kg (satu tan metrik),” katanya.

 

STOK SAH 

 

Pada 2016, semua spesies tenggiling diletakkan di bawah Apendiks I dalam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Fauna dan Flora (CITIES), bermakna sebarang perdagangan komersial antarabangsa haiwan itu adalah dilarang.

Di bawah Undang-undang Perlindungan Hidupan Liar China, tenggiling diklasifikasikan sebagai haiwan dilindungi negara Kategori I yang menghalang hidupan ini daripada ditangkap di habitat semula jadinya.

Justeru, dari mana China memperoleh bekalan sisik tenggiling sejak 2016?

Menjawab pertanyaan itu, Wang memberitahu tentang kewujudan “stok sah” sisik tenggiling yang diperoleh sebelum 2016 dari Afrika dan Asia.

Beliau berkata stok ini disimpan oleh entiti swasta dan awam serta menjadi sebahagian daripada kuota tahunan. Selain itu, stok ini juga dikawal selia melalui permit bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap sisik tenggiling di hospital dan farmasi di China.

“Pada masa ini sebanyak 711 hospital di China diberi kebenaran menjual ubat berasaskan sisik tenggiling dengan syarat mereka mempunyai permit. Penguatkuasaan yang lebih ketat sekarang memerlukan penjual memiliki sijil perdagangan, sekali gus meningkatkan lagi sekatan terhadap pasaran gelap,” jelasnya. 

Menurutnya, perniagaan di China semakin sedar tentang keperluan permit bagi menjual produk berasaskan tenggiling selain produk itu juga perlu ada pensijilan.

 

EIA UK

 

Pada 2023, Agensi Penyiasatan Alam Sekitar (EIA) berpangkalan di United Kingdom menerbitkan laporannya bertajuk “Investing in Extinction” yang mengenal pasti sekurang-kurangnya 88 produk TCM di pasaran dalam talian yang secara jelas menyatakan kandungan daripada bahagian tubuh haiwan seperti harimau bintang, tenggiling, harimau atau badak sumbu. Kesemua produk ini dihasilkan oleh syarikat China serta mempunyai nombor permit. 

Menurut laporan itu, pada abad ke-20, sisik tenggiling Asia didagangkan, sama ada secara sah atau haram, dari seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia, ke China untuk digunakan dalam TCM.  

Semakan Bernama di platform e-dagang berpangkalan di China dan Malaysia pada Oktober 2024, mendapati bahawa produk yang dihasilkan daripada bahagian tubuh haiwan liar yang disenaraikan dalam laporan EIA, masih dijual.

Bagaimanapun selepas China menguatkuasakan dasar baharunya bagi mengawal pengeluaran dan penjualan produk berasaskan sisik tenggiling pada November 2024, produk terbabit dikeluarkan daripada pasaran tersebut.

Sementara itu, pengasas badan bukan kerajaan Pangolin Aware yang berpangkalan di Sabah, Elisa Panjang berkata sekalipun China memutuskan untuk mengurangkan kuota tahunan penggunaan sisik tenggiling dalam TCM, negara itu masih membenarkan penghasilan dan penjualan produk berkenaan.

Dakwa pakar tenggiling itu lagi dasar terbaharu China tersebut akan terus “mengizinkan” pemburuan haram tenggiling.

 “Jika China benar-benar serius tentang pemuliharaan, ia harus mengharamkan sepenuhnya penggunaan sisik tenggiling dalam TCM dan mempromosikan secara aktif bahan pengganti yang lestari,” tegasnya.

pic-6

Berhubung penggunaan stok lama oleh China, Elisa berkata ketiadaan ketelusan serta hakikat negara itu masih membenarkan penggunaan bahan berkenaan, menunjukkan ada jurang penguatkuasaan yang turut bermakna tenggiling diburu secara haram di Asia Tenggara  masih boleh memasuki pasaran China dengan berselindung di sebalik perdagangan sah.

“Saya percaya aktivis pemuliharaan khuatir kuota sah ini boleh digunakan untuk melindungi kegiatan penyeludupan tenggiling,” katanya.

 

PERMINTAAN TIDAK SUSUT DI ASIA

 

Menurut  jaringan pemantauan perdagangan hidupan liar antarabangsa TRAFFIC, Asia kekal sebagai kawasan panas bagi rampasan tenggiling dengan 1,141 sitaan dilakukan sepanjang 2015 hingga 2021.

Menurut Pengurus Komunikasinya Elizabeth John, tanah besar China, Vietnam, Hong Kong, Malaysia dan Singapura melakukan rampasan terbesar, merangkumi 91 peratus daripada jumlah sitaan keseluruhan.

“Sejumlah  82 peratus daripada sitaan dilakukan oleh India, Vietnam, tanah besar China, Indonesia dan Malaysia.

“Di tanah besar China sahaja, jumlah sitaan ialah sebanyak 93,500 kg tidak termasuk 5,600 ekor tenggiling, iaitu volum terbesar direkodkan di Asia, diikuti Vietnam dengan 70,300 kg tidak termasuk 4,000 ekor tenggiling,” katanya.

Beliau berkata tempoh 2017 hingga 2019 menyaksikan beberapa rampasan terbesar dengan lebih 609 insiden sitaan di Asia membabitkan jumlah keseluruhan 244,600 kg sisik tenggiling.

"Rampasan tenggiling dari 2020 hingga 2021 bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan 233 insiden melibatkan 13,389 kg sisik, kemungkinan besar disebabkan oleh gangguan pergerakan produk melalui sistem pengangkutan global akibat pandemik COVID-19," katanya.

(Nota: Laporan ini adalah sebahagian daripada program Macaranga Mentorship on Covering Wildlife Crime in Malaysia 2024 dan disokong oleh Internews Earth Journalism Network.) 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan