EKONOMI

Pengecualian E-Invois Beri Manfaat Kepada Lebih 700,000 Peniaga Kecil - Amir Hamzah

20/02/2025 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kerajaan memberi pengecualian daripada pengeluaran e-Invois kepada peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah nilai ambang RM150,000 yang akan memberi manfaat kepada lebih 700,000 peniaga kecil seperti peniaga nasi lemak atau penjaja, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju fasa pelaksanaan e-Invois bagi perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai nilai jualan tahunan antara RM150,000 dan RM500,000 setahun ditangguhkan kepada 1 Jan 2026. 

Katanya langkah itu untuk membantu PMKS mempunyai tempoh persediaan yang secukupnya.

“Sebagai tambahan, tempoh peralihan selama enam bulan juga akan disediakan kepada kumpulan peniaga ini yang akan memberi manfaat kepada lebih 240,000 PMKS,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin mengetahui sama ada nilai ambang atau julat e-Invois akan dinaikkan daripada hasil tahunan RM150,000 kepada RM500,000 dan majikan akan dikecualikan daripada sumbangan KWSP untuk pekerja asing mereka demi meringankan beban kewangan peniaga tempatan. 

Pelaksanaan e-Invois fasa ketiga secara menyeluruh akan bermula pada 1 Julai 2025 yang melibatkan semua jenis perniagaan termasuk PMKS. 

Amir Hamzah berkata pelaksanaan e-Invois telah bermula sejak 1 Ogos 2024 bagi syarikat yang mempunyai jualan tahunan melebihi RM100 juta. 

Katanya mulai 1 Jan 2025, pelaksanaan e-Invois fasa kedua pula telah bermula bagi syarikat yang mempunyai jualan tahunan antara RM25 juta dan RM100 juta. 

“Sejak pelaksanaan inisiatif e-Invois, sebanyak 25,173 syarikat telah menggunakan sistem e-Invois yang melibatkan pengeluaran 181.3 juta e-Invois secara keseluruhan,” katanya.

Berhubung cadangan mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), katanya Perdana Menteri telah mengumumkan caruman majikan akan ditetapkan pada kadar dua peratus dan caruman syer pekerja sebanyak dua peratus sehingga kajian selanjutnya pada masa depan dengan mengambil kira kesesuaian semasa. 

Amir Hamzah berkata peluasan liputan mandatori caruman KWSP kepada pekerja bukan warganegara adalah untuk mewujudkan layanan sama rata antara pekerja tempatan dan pekerja asing.

“Tanpa caruman wajib untuk pekerja bukan warganegara, ia mengakibatkan kos menggajikan pekerja asing lebih rendah berbanding menggajikan pekerja tempatan. 

“Dengan itu, peluasan mandatori caruman tersebut secara tidak langsung menggalakkan penggajian lebih ramai pekerja tempatan,” katanya.

Dari segi layanan percukaian, katanya majikan yang membuat caruman KWSP sebanyak dua peratus kepada pekerja bukan warganegara, turut layak mendapat potongan cukai ke atas perbelanjaan tersebut berdasarkan subseksyen 34(4) Akta Cukai Pendapatan 1967, terhad sehingga 19 peratus daripada jumlah saraan pekerja tanpa mengira pekerja tersebut warganegara atau bukan warganegara.

Pada 3 Feb 2025, kerajaan mengumumkan caruman majikan ditetapkan pada kadar dua peratus dan caruman syer pekerja sebanyak dua peratus. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan