AM

Insiden Tembakan: Modul Latihan Pengawal Keselamatan Akan Ditambah Baik

20/02/2025 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor baru-baru ini membuka satu dimensi baharu terhadap keperluan menambah baik modul latihan kepada pengawal keselamatan terutama dari segi teori dan amali.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan penambahbaikan modul itu meliputi aspek tangkapan dan rampasan, rondaan dan kawalan kawasan larangan, komunikasi berkesan.

“Pada momen itu keselamatan awam diutamakan apakah langkah segera yang pengawal keselamatan boleh ambil, peranan dan tanggungjawab mereka di tempat kejadian sebelum polis sampai itu sudah dibincangkan ekoran peristiwa baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini. 

Pada 8 Feb, media melaporkan berlaku kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam, menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.

Beliau berkata KDN menjadi agensi kawal selia yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada syarikat kawalan keselamatan yang memiliki pasaran industri besar antara RM10 bilion hingga RM12 bilion setahun. 

“Syarikat keselamatan yang kita keluarkan lesen ini sekitar 1,200, sebelum mereka boleh beroperasi pengawal keselamatan perlu melalui modul latihan yang disediakan polis.

“Insiden terbaru ini membuka satu dimensi baharu sebab situasi pada waktu itu dalam kompleks beli-belah nyawa awam terancam dan pusat beli-belah itu mendapatkan perkhidmatan kawalan keselamatan daripada syarikat pengawal keselamatan,” katanya.  

Beliau berkata ketika ini juga garis panduan keselamatan premis perniagaan juga sudah ada di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pihak Berkuasa Tempatan dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan