AM

Usaha Pendigitalan Kastam Tingkat Kecekapan, Integriti - Pakar Industri

22/02/2025 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Usaha Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam meningkatkan kecekapan dan integriti menerusi pendigitalan proses kastam, mendapat pujian, terutamanya dengan pelaksanaan Sistem Dokumen Sokongan Import Eksport (SDSIE).

Pakar industri Gary Foong yang juga bekas pegawai Jabatan Kastam dan Eksais Singapura, memuji peralihan JKDM kepada SDSIE di Pelabuhan Klang, Selangor, menyifatkan langkah itu selaras dengan amalan terbaik global dalam pemodenan kastam.

Berdasarkan pengalamannya dengan sistem TradeNet Singapura pada 1990-an, Foong berkata impak transformasi pendigitalan terhadap operasi kastam dapat mengurangkan intervensi manual sambil meningkatkan kepatuhan, kecekapan dan tadbir urus.

Walaupun mengakui bahawa pelaksanaan sistem yang kompleks menghadapi cabaran tertentu, beliau berkata penambahbaikan berterusan berdasarkan maklum balas ialah kunci kejayaan jangka panjang.

Foong berkata SDSIE meningkatkan integriti dalam JKDM dengan meminimumkan interaksi langsung antara pegawai kastam dengan ejen penghantaran sekali gus mengurangkan peluang rasuah.

"Peralihan daripada sistem manual kepada SDSIE telah memperkemas proses import dan eksport, memastikan ketelusan lebih tinggi dalam proses deklarasi dan pematuhan terhadap peraturan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Sejak pelaksanaan penuh pada Ogos tahun lepas, SDSIE telah mempercepat dan mempermudah penilaian import–eksport.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata Pelabuhan Klang dipilih sebagai lokasi pelaksanaan sistem itu kerana ia mengendalikan hampir 70 peratus kargo Malaysia. Hingga kini, sebanyak 937 syarikat dan 3,065 ejen penghantaran telah berdaftar dengan SDSIE.

Foong berkata pegawai kastam perlu menjalani latihan intensif dan memahami klasifikasi tarif dengan lebih mendalam bagi memastikan peralihan daripada pemprosesan secara manual itu berjalan lancar.

"Lazimnya, pegawai banyak bergantung pada ejen penghantaran untuk klasifikasi produk, tetapi SDSIE memerlukan mereka lebih berdikari dan teliti dalam menjalan tugas," katanya.

Foong turut menyokong penstrukturan semula tenaga kerja JKDM yang membolehkan lebih banyak pegawai memberi tumpuan terhadap pemeriksaan kargo, pemantauan pematuhan dan pengurusan risiko.

Beliau menggesa agensi kerajaan seperti JKDM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan badan kawal selia lain untuk bergerak ke arah penggunaan platform bersama atau sistem yang saling beroperasi untuk pertukaran data yang lebih lancar dan meningkatkan kecekapan.

"Saya pernah menjadi sebahagian daripada sistem Integrated TradeNet Singapura pada 1990-an dan saya sungguh percaya bahawa dengan kepimpinan yang kukuh dan beretika, Malaysia dapat mencapai kejayaan serupa," katanya.

Mengenai keselamatan sempadan, Foong turut memuji penggunaan mesin pengimbas kargo yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) oleh JKDM, yang dijangka meningkatkan kecekapan operasi, mempercepat tempoh pelepasan kargo dan mengelakkan kebocoran hasil negara.

Beliau turut merujuk kawalan kastam laut Abu Dhabi pada 2023, dengan pengimbas AI di Pelabuhan Khalifa dan Pelabuhan Zayed mampu memeriksa hingga 120 trak sejam sekali gus meningkatkan aliran perdagangan.

Foong yang berasal dari Ipoh, Perak, meninggalkan Kastam Singapura pada 1997 untuk menjaga ibunya yang sakit sebelum menyertai firma pembuatan Jepun di Selangor dengan mengetuai bahagian Logistik, Hal Ehwal Kastam dan Kawalan Perolehan selama lebih sedekad.

Kini, sebagai penyokong tadbir urus yang baik, ketelusan dan kepimpinan beretika, beliau terus berkongsi pandangan tentang pentadbiran awam dan tanggungjawab korporat serta mempromosikan pembaharuan bagi memperkukuh tadbir urus dan pematuhan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan