JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Bongkar Makmal Haram Proses Cecair Vape Mengandungi Dadah Di Seri Kembangan

21/02/2025 08:51 PM

SHAH ALAM, 21 Feb (Bernama) -- Polis membongkar makmal haram pemprosesan cecair rokok elektronik atau vape mengandungi dadah selepas menyerbu dua rumah dan sebuah lot kedai di Seri Kembangan Isnin lepas, dengan nilai rampasan dadah dianggarkan RM9.92 juta.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tujuh suspek masing-masing seorang wanita dan lelaki tempatan, serta lima lelaki warga asing ditahan dalam serbuan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri itu.

Beliau berkata kejayaan itu bermula apabila pihaknya menyerbu sebuah kediaman di kondominium di sekitar Seri Kembangan kira-kira 7.40 malam dan menahan seorang wanita yang sedang memegang dua kotak katrij berisi cecair vape disyaki mengandungi campuran dadah.

“Hasil soal siasat ke atas wanita itu, polis menyerbu sebuah unit kediaman di kondominium sama dan menemukan 58 kotak katrij cecair vape yang serupa dengan anggaran isi padu 127 mililiter,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata susulan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah premis perniagaan di Seri Kembangan yang dipercayai dijadikan makmal pemprosesan cecair vape jenis sama oleh sindiket terlibat.

Beliau berkata serbuan pada 10.15 malam hari sama itu membawa kepada tangkapan lima lelaki warga asing yang dipercayai melakukan kerja-kerja memproses dan membungkus cecair berkenaan sebelum dijual.

Hussein berkata 33,019 kotak katrij berisi cecair vape dengan anggaran isi padu 133,000 mililiter termasuk 43 tong dan botol berisi cecair kimia dirampas dari premis berkenaan.

"Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan di sekitar Puchong dua hari kemudian yang disyaki berperanan sebagai pembancuh untuk menghasilkan cecair vape kepada sindiket sama,” katanya sambil menambah sebuah kereta Toyota Vios turut disita.

Hussein berkata cecair vape itu dipercayai untuk pasaran dalam dan luar negara pada harga jualan antara RM270 hingga RM350, dengan modus operandi sindiket menjual dadah secara dalam talian.

“Kesemua suspek berusia 21 hingga 37 tahun yang bekerja sepenuh masa dengan sindiket ditahan reman tujuh hari bermula hari ini, dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan