EKONOMI

ASEAN Digesa Perkukuh Kerjasama Serantau, Tingkatkan Pelaburan Bagi Atasi Impak Tarif AS

23/02/2025 10:22 AM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin & Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Ketua platform antara kerajaan utama di Asia Pasifik menggesa negara-negara di Asia Tenggara untuk memperkukuh kerjasama serantau dan meningkatkan pelaburan bagi mengurangkan impak daripada langkah Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengenakan tarif tinggi ke atas import dari China, Kanada dan Mexico.

“Dengan ketidaktentuan ekonomi daripada tarif AS, ASEAN mempunyai peluang untuk membina rangkaian perdagangan yang lebih kukuh dan berdaya tahan dengan meningkatkan integrasi serantau,” kata Setiausaha Agung Rendah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Armida Salsiah Alisjahbana kepada Bernama.  

Alisjahbana, yang juga Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) PBB berkata badan PBB sedang memantau impak daripada tarif tersebut yang dikenakan beberapa minggu lepas terhadap ekonomi serantau, termasuk ASEAN.  

ESCAP, badan PBB yang terbesar menggalakkan pembangunan serantau di Asia Pasifik, termasuk ASEAN dan Malaysia dalam kalangan anggotanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tarif AS, dengan dasar perdagangan Washington—termasuk levi ke atas import keluli dan aluminium—boleh memberi tekanan kepada ekonomi rakan dagang AS.

Selepas Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif sehingga 25 peratus ke atas import, ahli ekonomi menyuarakan kebimbangan bahawa sebarang kesan terhadap China boleh memberi impak kepada ASEAN, yang ekonominya mempunyai kaitan rapat dengan kuasa besar Asia itu.

“Daripada hanya bergantung pada pasaran luar, ASEAN perlu terus meningkatkan perdagangan antara serantau, pelaburan mampan dan jaringan digital,” katanya.

Dengan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan, Alisjahbana menggesa negara-negara ASEAN untuk proaktif dalam mempelbagaikan kerjasama perdagangan dan memacu dasar ekonomi yang terbuka, adil dan berasaskan peraturan.

“Kami sedang memantau dengan teliti perkembangan dasar perdagangan AS, terutamanya kebergantungannya yang meningkat terhadap tarif dan perjanjian dua hala, yang boleh memberi impak besar kepada perdagangan dan pelaburan global.

“Saya tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas mengenai dasar negara tertentu tetapi kita melihat ramai yang memantau apabila AS mengubah pendiriannya mengenai perdagangan dan pelaburan.

“Pendekatan mereka (AS) dilihat beralih kepada lebih banyak penglibatan dua hala, dengan langkah tarif dan bukan tarif sebagai instrumen utama,” katanya.

Alisjahbana mengadakan lawatan selama dua hari ke Malaysia dari 17 hingga 18 Feb 2025.

Beliau bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi Datuk V Valluvan untuk membincangkan isu serantau.  

Beliau menyedari kebimbangan mengenai penggunaan halangan perdagangan yang meningkat dan potensinya untuk mengganggu rantaian bekalan global.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan