MUAR, 23 Feb (Bernama) -- Waris kepada anggota keselamatan yang terkorban dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, di sini, 75 tahun lepas masih terkesan dengan kejadian yang meragut nyawa bapanya ketika dia berusia tiga bulan.
Anak kepada individu yang bertugas sebagai mata-mata kepada pasukan polis dan dikenali sebagai Ahmad @ Mohamad iaitu Zaleha Ahmad, 75, berkata dia hanya dapat melihat wajah Allahyarham menerusi beberapa keping gambar.
Beliau berkata melalui penceritaan daripada arwah ibunya Mariam Ibrahim, peristiwa serangan itu berlaku pada awal pagi dengan kebanyakan penghuni berek Balai Polis Bukit Kepong sedang tidur.
“Semasa kejadian kira-kira 4.30 pagi, arwah ayah sedang bersarapan sambil memangku saya, sebelum melakukan tugasan sebagai mata-mata, yang kemudiannya terdengar bunyi tembakan dari arah luar berek.
“Ibu memberitahu ketika ayah menjenguk melalui tingkap dia terkena tembakan dan rebah. Ibu tidak sempat berbuat apa-apa dan kemudiannya komunis masuk ke dalam rumah, terus menembak ayah sehingga terkeluar ususnya,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong Sempena Sambutan Hari Polis Ke-218 di Galeri Darurat Bukit Kepong, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk M Kumar dan Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz.
Seorang lagi waris mangsa serangan komunis Bukit Kepong Jariah Jidin, 75, berkata arwah bapanya, Jidin Omar ditembak ketika dia dalam kandungan.
“Arwah ibu menceritakan bapa ditembak di perut dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Sekelip mata saya menjadi anak yatim yang membesar tanpa bapa. Hanya menumpang kasih dengan arwah datuk,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial