EKONOMI

Pemulihan Ekonomi, Keupayaan Rakyat Antara Faktor Tarikan Pelabur Luar - PM Anwar

23/02/2025 02:16 PM

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Pemulihan dan keberdayaan ekonomi yang pesat serta keupayaan rakyat memajukan negara menjadi tarikan untuk pelabur asing datang ke Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pemimpin dan syarikat luar melihat Malaysia yang berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan kemasukan pelaburan yang tinggi tatkala terdapat negara lain yang bergelut untuk bangkit semula selepas pandemik COVID-19.

“Saya percaya kita ada keupayaan. Malaysia ini luar biasa. Mana ada negara di dunia yang masyarakatnya pelbagai kaum dan pelbagai agama tetapi boleh hidup dengan damai.

“Ada negara yang sudah kecundang sedikit, lemah dengan pelbagai skandal, kemudian datang COVID-19. Tetapi kita sekarang mencatatkan pertumbuhan yang baik, (menerima) pelaburan yang tinggi, menjadi (destinasi) pusat data dan hab semikonduktor,” kata beliau pada majlis perasmian Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.

Perdana Menteri turut menggariskan keupayaan negara menarik pelabur asing terletak pada keupayaan rakyat bersama-sama memajukan dan memartabatkan nama negara.

“Sebab apa (pelaburan datang)? Sebab mereka melihat keupayaan Malaysia, keupayaan seluruh rakyat. 

“Oleh itu, kita bagi penghargaan, penghargaan kepada pemuda, penghargaan kepada pengurusan, penghargaan kepada peniaga, penghargaan kepada tukang cuci,” kata beliau.

Anwar berkata Malaysia menjangkakan lebih ramai pemimpin luar termasuk Presiden China dan Afrika Selatan akan mengadakan lawatan selepas ini.

“Mungkin bila Ramadan itu, tangguh sekejap (lawatan pemimpin negara) dan akan sambung semula selepas April,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan