EKONOMI

Untung Bersih Petronas Gas Naik Kepada RM1.84 Bilion, Umum Dividen 22 Sen

24/02/2025 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) merekodkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu RM1.84 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 (FY2024) berbanding RM1.82 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata hasil meningkat 1.4 peratus atau RM92.8 juta kepada RM6.54 bilion pada FY2024 daripada RM6.45 bilion sebelumnya.

Ia didorong oleh hasil lebih tinggi daripada pemprosesan gas berikutan caj tempahan lebih tinggi di bawah penggal baharu.

“Ia diimbangi oleh hasil yang lebih rendah daripada segmen utiliti terutamanya disebabkan oleh harga produk yang lebih rendah,” katanya.

Bagaimanapun, keuntungan bersih pada suku keempat FY2024 merosot kepada RM417.03 juta daripada RM441.59 juta pada suku yang sama sebelumnya.

PGB berkata keuntungan bersih lebih rendah adalah seiring dengan keuntungan kasar yang lebih rendah dan kesan daripada bahagian keuntungan daripada syarikat usaha sama.

Namun, hasil meningkat kepada RM1.62 bilion pada suku keempat FY2024 daripada RM1.58 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh segmen pemprosesan gas berikutan caj tempahan lebih tinggi di bawah terma baharu dan segmen pengangkutan gas susulan pelarasan ke atas tarif.

Sementara itu, PGB mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 22 sen sesaham biasa, berjumlah RM435.3 juta bagi FY2024, dengan tarikh pembayaran pada 20 Mac, 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PGB Abdul Aziz Othman berkata kumpulan itu dijangka merekodkan prestasi kewangan yang baik pada 2025 didorong oleh prestasi operasi yang kukuh dan berterusan.

“Walaupun kos operasi diunjurkan meningkat, termasuk kos berkaitan dengan aset yang baru siap, kumpulan ini komited untuk mengoptimumkan kecekapan kos bagi mengurangkan kesannya.

“Selain itu, kumpulan juga akan terus memberi keutamaan kepada initiatif pertumbuhan mampan dan berusaha memaksimumkan pulangan kepada pemegang saham,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan