KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) susut kepada RM1.175 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 daripada RM1.696 bilion pada tahun sebelumnya.
PCG berkata keuntungan bersih yang lebih rendah dicatatkan bagi tahun kewangan 2024 seiring dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah serta bahagian kerugian dari syarikat usaha sama dan bersekutu.
EBITDA bagi tahun tersebut menurun sebanyak 7.0 peratus tahun ke tahun kepada RM3.5 bilion disebabkan oleh margin yang lebih rendah selain kos operasi yang lebih tinggi.
Perolehan untuk tahun berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM30.67 bilion daripada RM28.67 bilion tahun ke tahun, berikutan pertumbuhan volum jualan di ketiga-tiga segmen perniagaannya, kata PCG dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.
Syarikat mengumumkan pembayaran dividen interim kedua sebanyak 3.0 sen setiap saham yang berjumlah RM240 juta bagi tahun kewangan 2024.
Jumlah dividen yang diumumkan bagi tahun kewangan 2024 sebanyak RM1.0 bilion, mewakili 89 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI).
Bagi tempoh suku keempat yang berakhir 31 Dis, 2024, keuntungan bersih PCG melonjak kepada RM519.0 juta daripada RM112.0 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pencapaian ini seiring dengan peningkatan EBITDA dan keuntungan pertukaran asing yang tidak direalisasi ke atas penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd.
EBITDA bagi suku keempat tahun kewangan 2024 menokok sebanyak 28 peratus kepada RM710 juta daripada RM554 juta pada suku ketiga bagi tahun kewangan yang sama, disebabkan terutamanya oleh kesan positif daripada pertukaran mata wang asing.
Margin EBITDA naik kepada 10 peratus daripada 7.0 peratus pada suku ketiga tahun kewangan 2024.
Perolehan syarikat pada suku keempat tahun kewangan 2024 meningkat kepada RM7.46 bilion daripada RM7.21 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya walaupun dengan harga jualan purata yang lebih rendah dan volum jualan yang lebih rendah dalam segmen khas.
PCG berkata kitaran penurunan dalam sektor kimia berlanjutan lebih lama daripada jangkaan awal disebabkan permintaan global yang tidak stabil di tengah-tengah lebihan kapasiti bekalan.
Selain itu, katanya, kesan peningkatan ketara dalam kapasiti yang baharu dibina terutamanya di Asia Timur Laut, mengatasi pertumbuhan permintaan selain mengekalkan tekanan pada harga dan margin.
Kumpulan itu berkata ia mengharungi cabaran melalui pelbagai tawaran produknya selain memanfaatkan segmen baja dan metanol (F&M) dengan tahap permintaan dan harga urea serta metanol yang stabil di rantau Asia Pasifik sepanjang 2024.
Ia juga mendapat manfaat daripada penambahbaikan kecekapan kilang dan pengurangan masa henti walaupun menjalankan aktiviti penyelenggaraan di empat daripada kilang pengeluaran yang dimilikinya.
PCG berkata ini menghasilkan kadar penggunaan purata kilang sebanyak 91 peratus berbanding 85 peratus pada 2023 yang meningkatkan pengeluaran dan jumlah jualan produk kimia komoditi dalam segmen olefins dan derivatif (O&D) serta F&M.
Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mazuin Ismail dalam satu kenyataan berkata pihaknya mencapai sasaran operasi dengan penggunaan kilang untuk segmen O&D dan F&M yang kembali melebihi 90 peratus, walaupun berdepan cabaran pada awal tahun.
"Segmen khas juga mencatatkan peningkatan jualan berikutan kekangan bekalan dan permintaan yang lebih baik untuk okso dan poliol," katanya.
Beliau berkata keadaan pasaran dijangka kekal tidak berubah pada 2025 berikutan ketidakpastian yang ditimbulkan oleh perubahan dasar geoekonomi dan kemungkinan tindakan balas oleh negara yang terjejas, selain daripada peristiwa geopolitik yang berlaku.
"Kami masih perlu berdepan dengan lebihan bekalan produk petrokimia global walaupun permintaan mula pulih berikutan penambahan kapasiti dijangka melebihi pertumbuhan permintaan sebanyak kira-kira 50 peratus pada tahun ini.
"Sejak akhir 2024 dan setelah memasuki 2025, kami meninjau penurunan harga dan margin dalam O&D, dengan margin bersepadu di Asia Tenggara dijangka kekal dalam keadaan rendah," katanya.
Mazuin berkata PCG kekal fokus bagi memastikan operasi yang selamat dan cekap selain sentiasa memantau pasaran dan mengukuhkan disiplin kewangannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial