250 GRADUAN PROGRAM 42MALAYSIA DAPAT PEKERJAAN DALAM SEKTOR UTAMA
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 250 graduan Program 42Malaysia telah dilatih dan mendapat pekerjaan dalam beberapa sektor utama termasuk perkhidmatan teknologi maklumat, teknologi kewangan dan automotif dari 2021 hingga 2024.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata bagi tahun ini, 650 peserta dijangka mengikuti program bagi pembangunan bakat digital negara itu.
“Selain Program 42Malaysia, di bawah program seperti MD Workforce Training, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melatih 1,663 pekerja dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Syarikat pembekal latihan terlibat antaranya ialah Amazon Web Services (AWS), Google dan Microsoft,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu sejauh mana penekanan terhadap aspek pembangunan landskap bakat digital dengan kolaborasi syarikat teknologi dan syarikat pemula untuk memberi pendedahan kepada murid dalam bidang robotik, pengkomputeran awan dan AI.
-- BERNAMA
KADAR KEBOLEHPASARAN GRADUAN TVET KPM PADA TAHAP HAMPIR 100 PERATUS
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kementerian Pendidikan (KPM) berada pada tahap hampir 100 peratus, berdasarkan data Sistem Kajian Pengesanan Graduan TVET (SKPG TVET).
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata kadar kebolehpasaran mencecah 99.91 peratus pada 2023, 99.38 peratus (2022) dan 99.16 peratus (2021), sekali gus membuktikan graduan TVET didambakan industri dan mempunyai peluang yang cerah dalam pasaran kerja.
“Penerimaan masyarakat terhadap TVET juga semakin meningkat dengan 6.30 peratus murid telah menyertai program TVET pada 2021 dan angka ini terus meningkat kepada 10.37 peratus (2022), 10.71 peratus (2023) serta 11.14 peratus hingga 31 Dis 2024,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu usaha kementerian bagi memastikan lulusan TVET tidak dipandang sebagai pendidikan kelas kedua.
-- BERNAMA
SEDA BENAR SJKC, SJKT MOHON KUOTA NEM GOMEN MULAI HARI INI
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia telah membenarkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) memohon kuota di bawah Net Energy Metering (NEM) kategori NEM GoMEn (kementerian dan entiti kerajaan), mulai hari ini.
Mengumumkan perkara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Klang V. Ganabatirau yang juga Anggota Pihak Berkuasa SEDA berkata Sekolah Bantuan Kerajaan sebelum ini hanya dibenarkan memohon kuota di bawah program NOVA (Net Offset Virtual Aggregation).
Lee berkata hal itu menyebabkan sekolah awam terpaksa bersaing dengan sektor korporat dan swasta untuk kuota yang terhad, sedangkan NEM GoMEn kebiasaannya mempunyai kuota berlebihan.
"Pemohon hanya perlu mendapatkan surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyatakan bangunan itu digunakan untuk tujuan pendidikan, sekolah berkenaan akan layak memohon kuota di bawah program NEM GoMEn,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial