KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Petroliam Nasional Bhd (Petronas) susut 32 peratus kepada RM55.1 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, daripada RM80.7 bilion pada tahun kewangan 2023.
Keputusan ini sejajar dengan purata harga direalisasi yang lebih rendah dan pelarasan cukai yang menguntungkan pada 2023, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Petronas berkata keuntungan turut terjejas oleh realisasi rizab terjemahan mata wang asing yang tidak menguntungkan, susulan penjualan Engen Group.
Hasil pada tahun kewangan 2024 merosot sebanyak 7.0 peratus kepada RM320 bilion daripada RM343.6 bilion pada tahun sebelumnya disebabkan oleh purata harga direalisasi yang lebih rendah, walaupun ini diimbangi oleh volum jualan yang lebih tinggi.
“Selain itu, hasil 2024 hanya termasuk lima bulan keputusan kewangan Engen Group sehingga penjualannya pada Mei 2024,” kata syarikat minyak nasional itu.
Pelaburan modal berjumlah RM54.2 bilion pada tahun kewangan 2024, didorong terutamanya oleh aktiviti di Malaysia, manakala jumlah aset berjumlah RM766.7 bilion dan ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM451.2 bilion, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang dicatatkan pada tahun tersebut.
Pada separuh kedua 2024, keuntungan bersih Petronas merosot sebanyak 44 peratus kepada RM22.7 bilion berbanding RM40.5 bilion pada tempoh yang sama 2023, selaras dengan purata harga direalisasi yang lebih rendah dan pelarasan cukai yang menguntungkan pada 2023, terutamanya disebabkan pengiktirafan aset cukai tertunda.
Hasil juga merosot kepada RM146.4 bilion (separuh kedua 2023: RM174.6 bilion) selaras dengan purata harga direalisasi yang lebih rendah sebahagian besarnya daripada produk petroleum, dan penjualan Engen Group.
Prestasi kewangan kekal kukuh meskipun ketidaktentuan, tekanan kawal selia
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata prestasi kewangan Petronas pada 2024 kekal kukuh meskipun dalam keadaan pasaran tidak menentu yang berterusan dan peningkatan tekanan kawal selia disebabkan oleh peralihan geopolitik global.
Beliau berkata prestasi kukuh itu dicapai susulan komitmen tinggi kumpulan terhadap pengurusan kewangan yang berhemat dan kepelbagaian portfolio.
Memandangkan industri bersaing dengan dinamik pasaran yang semakin berkembang yang dijangka melangkaui 2025, Petronas telah menggerakkan strategi transformasinya untuk mengukuhkan keupayaan menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan, tenaga kepada pelanggan dan impak positif kepada komuniti, kata Tengku Muhammad Taufik.
“Melalui disiplin tinggi dalam peruntukan modal dan rasionalisasi kos, kerjasama yang diperkukuh dan model perkongsian baharu, serta kecemerlangan operasi dan komersial, Petronas akan lebih menumpukan kepada nilai, berdaya saing di peringkat global dan pantas bertindak balas terhadap perubahan pasaran.
“Sebagai syarikat minyak nasional, Petronas terus komited menyokong pertumbuhan ekonomi dan jaminan tenaga Malaysia.
“Transformasi ini dijangka meletakkan institusi ini di kedudukan yang lebih baik untuk terus mendukung mandat yang diamanahkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974,” katanya.
Prospek
Tengku Muhammad Taufik berkata dinamik industri tenaga pada 2024 dicorakkan oleh ketidakstabilan geopolitik, perubahan dasar dan peraturan serta ketidaktentuan ekonomi, yang memberi impak ketara terhadap harga minyak dan gas.
“Bagi 2025, Petronas berada di kedudukan strategik untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat sambil memastikan jaminan bekalan tenaga.
“Kumpulan bersedia untuk mengharungi cabaran dengan memaksimumkan potensi aset, pengurusan kewangan berhemat serta peningkatan produktiviti dan kecekapan untuk kekal sebagai organisasi berprestasi tinggi,” katanya.
Beliau berkata Petronas komited untuk menyokong jaminan tenaga dan pertumbuhan ekonomi negara, seperti yang ditunjukkan menerusi kemajuan Pembangunan Medan Gas Kasawari dan LNG Terapung Petronas 3, dan penyiapan projek Minyak Bekok Bersepadu.
“Di peringkat antarabangsa, Petronas komited untuk mengekalkan kesinambungan portfolionya melalui pelaburan strategik dalam pembangunan loji gas asli cecair di Kanada dan penerokaan perniagaan huluan di Angola dan Indonesia.
“Selain itu, kumpulan juga melabur dalam projek karbon rendah dan loji kimia khusus bagi meneruskan Strategi Peralihan Tenaganya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial