EKONOMI

Keuntungan Bersih TM Melonjak 7.8 Peratus Kepada RM2 Bilion

25/02/2025 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd (TM) melonjak 7.8 peratus kepada RM2.01 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember berbanding RM1.87 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelum ini berikutan kos kewangan bersih yang lebih rendah dan pengiktirafan baki kredit cukai satu kali.

Pendapatan juga menokok kepada RM11.71 bilion daripada RM11.69 bilion.

“Penambahbaikan ini didorong oleh perkhidmatan internet dan multimedia, perkhidmatan telekomunikasi lain serta segmen pendidikan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih TM naik 68.5 peratus (RM297.1 juta) kepada RM730.63 juta berbanding RM433.53 juta yang dicatatkan setahun sebelum ini, disebabkan oleh pengiktirafan kredit cukai satu kali pada suku tersebut. 

Sama juga, hasil bertambah kepada RM3.05 bilion, mencerminkan kenaikan 2.0 peratus (RM58.4 juta) daripada RM2.99 bilion pada suku yang sama tahun lepas.  Pertumbuhan ini telah dipacu oleh sumbangan yang lebih baik dari perkhidmatan data, telekomunikasi lain dan segmen pendidikan.

“Prestasi keseluruhan yang agak memberangsangkan ini telah disokong oleh lembaran imbangan yang mantap dan rizab tunai yang sihat, mempamerkan asas operasi dan kedudukan kewangan TM,” katanya.

TM terus melabur secara strategik dalam infrastruktur rangkaian, kabel bawah laut antarabangsa dan pusat data pada tahun kewangan 2024.  Jumlah perbelanjaan modalnya (CAPEX) adalah sebanyak RM1.59 bilion, mewakili 13.6 peratus daripada jumlah pendapatan - masih dalam jajaran kawalannya.

Selaras dengan prestasi kewangannya yang mantap, kumpulan itu telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 12.5 sen sesaham dan dividen khas berjumlah RM230.3 juta untuk tahun kewangan 2024. Jumlah dividen bagi tahun kewangan 2024, termasuk dividen interim yang diisytiharkan pada Ogos 2024 adalah 31 sen sesaham, “”ini mengesahkan komitmen TM terhadap penciptaan nilai dan pulangan yang mampan kepada para pemegang saham”.

“Pencapaian ini menunjukkan keupayaan serta komitmen kami untuk memacu kecekapan operasi sambil memajukan agenda digital Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris.  

TM berkata prospek 2025 kumpulan itu adalah positif, disokong oleh "perniagaan teras yang kekal berdaya tahan, seterusnya, mengekalkan trajektori pendapatan positif di tengah-tengah tekanan kompetitif dan dinamik pasaran yang tinggi."

“Ini telah membawa kami dalam memanfaatkan peluang yang lebih baik seperti pusat data terhubung hiper, kecerdasan buatan (AI) dan unit pemprosesan grafik (GPU) sebagai perkhidmatan (GPUaaS) yang merupakan antara medan pertumbuhan baharu untuk TM," katanya. “Usaha ini bukan sahaja akan mendorong kumpulan lebih dekat dengan aspirasi kami ke arah menjadi kuasa digital menjelang 2030 tetapi turut meletakkan Malaysia sebagai hab digital untuk ASEAN."

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan