EKONOMI

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Antara RM4,000-RM4,600 Setan Sehingga 31 Mac - Pakar Industri

26/02/2025 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) dijangka diniagakan antara paras RM4,000 dan RM4,600 setan metrik dari sekarang hingga 31 Mac 2025.

Pengarah Godrej International Ltd, Dorab Mistry berkata, ketika ini masih dalah tempoh menaik dan tiga faktor iaitu bulan pengeluaran paling kurang, stok rendah dan gangguan bekalan berikutan bulan Ramadan, dijangka terus menjadikan pasaran kekal aktif.

“Selepas Ramadan, saya jangkakan peningkatan pengeluaran minyak sawit dan penurunan harga yang seterusnya menjadikan minyak sawit sekali lagi lebih kompetitif.

“Antara tempoh April dan November, saya menjangkakan niaga hadapan MSM BMD diniagakan antara RM3,600 setan metrik dan RM4,100 setan metrik tetapi lebih cenderung kepada paras harga rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Is It Time to Lift the Indonesian Moratorium? Price Outlook 2025’ pada Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik ke-36 20245, di sini, hari ini. 

Menurutnya, prospek harga tahun ini dipengaruhi oleh faktor seperti langkah-langkah yang diambil oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump termasuk tarif, sekatan dan perang perdagangan, prospek harga tenaga dan cuaca di Amerika Utara.

“Faktor lain termasuklah trajektori dolar AS, yang mungkin mengurangkan kenaikan harga kerana rejim Trump cenderung kepada dolar yang kukuh berbanding dolar yang lemah, dan dolar yang lemah biasanya membawa kepada harga komoditi yang lebih tinggi.

“Kebanyakan  penyusutan bekalan berlaku sekarang, dengan peningkatan bekalan dijangka selepas April atau pada separuh kedua 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan