AM

PM Anwar Tegas Tolak Rasuah Dalam Pertahanan Negara

27/02/2025 12:36 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan sesekali membenarkan sebarang pihak dalam sektor pertahanan negara terlibat dalam amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata perbuatan sedemikian bukan sahaja mengkhianati amanah yang diberikan, tetapi juga merosakkan keselamatan serta keamanan negara.

"Saya tidak kira besar mana, tinggi mana pun kamu, Saya tidak akan izinkan kerana ini akan mengorbankan, mengkhianati dan merosakkan sistem pertahanan negara kita. 

"Saya tidak akan biarkan. Sedaya upaya, saya akan cuba membersihkan (perbuatan rasuah)," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan sistem perolehan yang telus bagi membendung perkara terbabit daripada terus berlarutan. 

Anwar berkata semua perolehan dalam sektor pertahanan perlu dilakukan secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Semua harus guna proses tender. Saya tidak peduli (anda) dari mana, besar mana, (perlu) ikut proses. Nak beli seumpamanya perkakasan digital, kecerdasan buatan (AI) yang baharu, pusat data ataupun senjata (mesti) ikut proses.

"Tentukan keperluan negara, jangan beli kapal (namun) berpuluh-puluh tahun tersadai, berbilion ringgit hilang. Ini kerja yang akan jahanamkan negara, padahal ini soal pertahanan negara,” kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata budaya mengaut kekayaan negara demi kepentingan peribadi perlu diperbetul.

"Bagaimana mungkin dalam sistem pengurusan negara dan tata kelola … kita mohon orang yang gajinya RM3,000 untuk derma RM100? Padahal ada orang kaya mencuri ratusan juta ringgit kita biarkan kerana pelbagai alasan politik, ekonomi, dan (belas) kasihan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan