EKONOMI

ARM Holdings dijangka Meterai Perjanjian Berpangkalan Di Malaysia Minggu Depan – PM Anwar

01/03/2025 12:59 AM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- ARM Holdings Plc, syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) yang menyatakan hasrat mahu berpangkalan di Malaysia bakal menandatangani perjanjian pada minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau telah membincangkan perkara itu dengan ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut secara dalam talian pada pagi tadi yang turut disertai ketua pegawai eksekutif SoftBank Group Corp, Masayoshi Son.

SoftBank merupakan syarikat pemegangan pelaburan multinasional terkemuka Jepun.

"Insya-Allah, minggu depan kita dapat selesaikan dan perjanjian akan ditandatangani," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Peletakan Logo Malaysia MADANI di rangkaian Restoran nasi Kandar Putrajaya, di sini, hari ini.

Terdahulu ketika berucap selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sekolah Sultan Alam Shah, Perdana Menteri berkata dalam soal reka bentuk dan pembikinan semikonduktor ARM merupakan antara yang cemerlang di dunia.

"ARM memilih untuk berpangkalan di Malaysia, syukur Alhamdulillah," kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata pelaburan sedemikian hanya mampu dikecapi kerana Malaysia mempunyai kestabilan politik serta dasar yang jelas.

Namun, kata beliau, pelaburan besar sebegini turut memberi cabaran kepada negara dalam memastikan tenaga kerja muda profesional yang mencukupi.

"Ini ujian besar, apakah kita boleh menyediakan puluhan ribu anak muda profesional?

"Ini satu cabaran bagi anak-anak muda. Bila kita bawa pelaburan besar, tenaga kerja profesional adalah tunjang," kata Anwar.

ARM Holdings Plc adalah syarikat reka bentuk semikonduktor dan perisian yang berpangkalan di Cambridge, England. Perniagaan utamanya adalah dalam reka bentuk unit pemprosesan pusat (CPU) yang melaksanakan set arahan seni bina ARM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan