DUNIA

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS

03/03/2025 10:10 AM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin dalam dagangan berhati-hati menjelang pelaksanaan tarif import oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) ke atas Kanada, Mexico dan China.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4595/4650 berbanding dolar AS daripada 4.4600/4650 semasa ditutup pada Jumaat lepas.  

Tarif sebanyak 25 peratus ke atas Kanada dan Mexico dijadualkan berkuat kuasa pada Selasa manakala tarif 10 peratus ke atas China dijangka dikuatkuasakan pada 4 Mac. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) keseluruhan dan teras, yang merupakan ukuran inflasi pilihan Rizab Persekutuan (Fed), masing-masing susut kepada 2.5 peratus dan 2.6 peratus pada Januari 2025, menunjukkan dasar monetari yang ketat adalah perlu untuk mengawal risiko inflasi yang tinggi.

“Selain itu, Fed dijangka mengekalkan kadar faedah pada paras stabil sehingga mereka yakin bahawa kadar inflasi akan bergerak ke arah sasaran dua peratus,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.  

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9564/9605 daripada 2.9682/9717 pada Jumaat lepas, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.6185/6255 daripada 5.6174/6237 dan susut berbanding euro kepada 4.6423/6481 daripada 4.6362/6414 sebelum ini. 

Sebaliknya, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.  

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3036/3081 daripada 3.3069/3108 pada Jumaat lepas, naik berbanding baht Thailand kepada 13.0242/0498 daripada 13.0455/0670 dan menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 268.6/269.1 daripada 268.7/269.1.

Bagaimanapun, ringgit mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.70. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan