EKONOMI

Pelantikan Kenneth Vun Sebagai Pengarah Urusan Menandakan Fasa Transformasi XOX

03/03/2025 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- XOX Bhd melantik Datuk Kenneth Vun sebagai Pengarah Urusan yang baharu, menandakan era baharu pertumbuhan dan inovasi.

Syarikat itu berkata pelantikan Vun menekankan komitmen XOX untuk merintis ekonomi digital baharu yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Dengan rekod prestasi yang terbukti dalam transformasi perniagaan, teknologi terkini, dan strategi pelaburan, kepimpinan beliau akan mengukuhkan kedudukan pasaran XOX, mengembangkan jangkauan globalnya, dan memperkasakan rakyat Malaysia untuk berkembang maju dalam era digital," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan pengalaman lebih dari 30 tahun, Vun mengasaskan syarikat teknologi dan maklumat pertamanya di Sabah sebelum mengembangkan operasi ke seluruh Malaysia, Singapura, Hong Kong, dan China.

"Beliau telah menerajui perniagaan merentas pelbagai industri, termasuk teknologi, kewangan, pembangunan hartanah, dan makanan dan minuman (F&B)," kata syarikat berkenaan.

XOX berkata ia sedang memasuki fasa transformasi dengan pelantikan Vun sebagai Pengarah Urusan, dan pada masa yang sama telah menerima pelaburan besar oleh VCAP Global Inc. Menurut notis yang diterima pada 26 Februari, 2025, VCAP Global Inc memperoleh 15 juta saham biasa pada 25 Februari, 2025, yang mewakili kepentingan langsung sebanyak 8.09 peratus dalam syarikat itu.

Pelaburan strategik itu mencerminkan keyakinan yang kukuh terhadap visi dan potensi pertumbuhan XOX.

Dengan pelantikan Vun dan sokongan daripada VCAP Global Inc, XOX bersedia untuk mempercepat inovasi, mengukuhkan perniagaan telekomunikasi, mengembangkan kehadiran pasaran, dan memacu kemampanan jangka panjang dalam ekonomi digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan